SEBUAH akaun di TikTok menggunakan nama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disyaki palsu dan dipercayai cuba memperdaya orang ramai dengan meletakkan satu pautan mengenai pengeluaran khas KWSP.
Platform palsu tersebut telah berkongsi sebuah video mengenai cara untuk mengeluarkan wang simpanan khas tersebut untuk ahli di bawah umur 55 tahun dengan kaedah tersebut kononnya boleh dibuat bermula 7 hingga 30 Oktober 2024.
Akaun tersebut mendakwa setiap ahli boleh berbuat demikian secara dalam talian dan pembayaran akan bermula pada 20 Oktober 2024.
BACA LAGI: Terjebak 'Love Scam' di FB, warga emas rugi lebih RM4.3 juta
BACA LAGI: Masih ramai Gen Z, Alpha tidak tahu 'Love Scam', kewujudan hotline 997 — Polis
Laman web itu seterusnya meminta pengikut untuk klik pautan yang disediakan di bio. Bagaimanapun, pautan berkenaan membawa kepada laman web palsu dengan nama 'Bantuan Melayu' di ruangan alamat URL dan nama 'Portal Penerima MyKasih' pada tab.
Akaun TikTok palsu KWSP yang meletakkan pautan 'Bantuan Melayu' untuk memperdayakan pengguna media sosial.
Bahkan, paparan halaman yang ada pada laman web tersebut direka sama seperti Bantuan Tunai Rahmah 2024 (Lembaga Hasil Dalam Negeri) (LHDN).
Justeru, pengguna perlu berhati-hati dan jangan terpedaya walaupun laman web terbabit kelihatan sama.
Akaun licik itu didapati telah membuat tiga hantaran video berkenaan wang simpanan dan memperoleh 1,275 pengikut sehingga kini.
Setakat ini akaun TikTok rasmi KWSP memiliki jumlah pengikut sebanyak 98,000.
Oleh itu, amat mustahak buat pengguna media sosial untuk tidak terburu-buru memasukkan sebarang butiran peribadi di laman web atau pautan yang diterima tanpa usul periksa, kerana anda berisiko untuk ditipu.
Pada masa sama, elakkan daripada melihat jumlah pengikut di platform tersebut kerana jumlah pengikut yang tinggi tidak menjamin kesahihan dan ketulenan sesebuah akaun itu.
Jika ingin mengenal pasti ketulenan akaun media sosial sesebuah agensi atau organisasi, pengguna digalakkan untuk terus melayari laman web rasmi dan platform sosial media yang kebiasaannya dilampirkan bersama di halaman utama.
Bagi perihal atau urusan keluar masuk wang, lakukan di laman web dan aplikasi rasmi sahaja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram