Premis sering dilanda banjir kilat, peniaga rayu MBDK segera bersihkan longkang di Little India Klang


  • Massa
  • Khamis, 12 Sep 2024

Longkang tersumbat mengakibatkan kawasan Little India Klang sering dilanda banjir kilat.

PENIAGA di Jalan Tengku Kelana, Klang menggesa pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan untuk membersihkan longkang di hadapan premis mereka ekoran ia melimpah ketika hujan lebat.

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor, NP Raman berkata, jalan tersebut sering mengalami banjir kilat akibat longkang yang tersumbat.

Beliau meminta Majlis Bandaraya Klang (MBDK) mengambil langkah segera untuk memastikan longkang sentiasa bersih supaya air dapat mengalir tanpa halangan.

“Peniaga mahu Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MBDK membersihkan longkang tersumbat di hadapan premis,” katanya.

Peniaga memberitahu bahawa bahagian yang terjejas bermula dari jalan utama di persimpangan Jalan Tengku Kelana dan Jalan Pulasan hingga ke Jalan Yeo Guan Hup, sebuah lorong yang mengalami banjir paras buku lali.

Raman yang juga bekas pengerusi Persatuan Usahawan Little India Klang berkata, kedua-dua belah laluan dua hala di Jalan Tengku Kelana terjejas akibat banjir kilat.

“Kami faham bahawa Jalan Tengku Kelana berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Klang manakala Jalan Yeo Guan Hup dan Jalan Pulasan berada di bawah MBDK.

“Peniaga mahu kedua-dua agensi melihat cara terbaik untuk mengatasi masalah ini, termasuk kemungkinan menaik taraf perparitan dan longkang untuk mengelakkan banjir kilat,” katanya.

Shopkeepers want Klang Royal City Council to resolve floods in the business enclave—LOW BOON TAT/The Star.

Raman menunjukkan paras air yang naik apabila hujan lebat di sepanjang Jalan Tengku Kelana di Little India Klang. LOW BOON TAT/The Star

Seorang lagi peniaga, G. Pushpanathan berkata, banjir juga berlaku di lorong belakang Lorong Rembau yang berhampiran dengan Jalan Tengku Kelana.

Kawasan premis di Lorong Rembau sering dinaiki air dengan cepat selepas setengah jam hujan.

“Longkang di sepanjang Lorong Rembau dibina beberapa dekad lalu dan tidak lagi mampu menampung aliran air semasa hujan lebat. Ia perlu dinaik taraf,” kata Pushpanathan.

"MBDK perlu membuat pemeriksaan di kesemua longkang di Little India Klang untuk mengenalpasti mana yang perlu dibersihkan dan mana yang memerlkan pembaikan,” tambahnya.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MBDK, Zaireezal Ahmad Zainuddin mengakui bahawa kawasan rendah di Jalan Tengku Kelana sering mengalami banjir kilat.

“Pembersihan longkang di Jalan Tengku Kelana sudah dilaksanakan pada 25 hingga 27 Mac dan sekali lagi dilakukan pada 10 hingga 21 Mei lalu.

“Kita akan patuhi jadual dan bersihkan semua longkang,” katanya.

Zaireezal menambah bahawa jet air akan digunakan untuk membersihkan kelodak, dan unit sedutan untuk mengeluarkan kotoran.

Pengarah JKR daerah Klang, Zaizul Hisham Zainol, mengesahkan bahawa Jalan Tengku Kelana berada di bawah bidang kuasa JKR.

“Pada 2 Ogos, MBDK memohon agar Jalan Tengku Kelana berada di bawah bidang kuasa majlis.

“Kami akan menjalankan lawatan tapak dan mengadakan perbincangan tidak lama lagi.

“Sekiranya diserahkan kepada majlis, kerja-kerja menaik taraf longkang akan berada di bawah MBDK,” kata Zaizul. — The Star/EDWARD RAJENDRA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram