Dituduh buat perlakuan lucah di tempat awam, 2 warga asing berdepan hukuman 3 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi


  • 112
  • Isnin, 07 Okt 2024

Antara peserta larian antarabangsa di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor yang dianjurkan pada Sabtu lalu.

DUA lelaki warga asing berusia 66 dan 70 tahun yang ditahan berhubung insiden berkelakuan tidak sopan dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi pada Sabtu lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kedua-dua tertuduh akan didakwa di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam.

M Kumar berkata, pihaknya menerima arahan pertuduhan pada Isnin selepas kertas siasatan dirujuk ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada Ahad.

BACA LAGI: Lelaki usia 70 tahun antara 3 suspek ditahan kes kelakuan tak senonoh acara larian kontroversi di Johor

BACA LAGI: Larian kontroversi, tak senonoh dianjurkan tanpa pengetahuan Majlis Perbandaran Pengerang

"Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tiga bulan atau dengan denda atau dengan kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan berhubung insiden berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.

Kesemua mereka berusia lingkungan 39 hingga 70 tahun itu ditahan di sebuah hotel di daerah berkenaan, pada kira-kira pukul 10 malam Sabtu.

Polis turut merampas sepasang sari merah, sehelai skirt merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan sebatang tombak tiruan berwarna perak yang dipercayai dijadikan pakaian dan aksesori mereka semasa larian itu.

Siasatan awal mendapati tindakan yang dilakukan oleh ketiga-tiga tangkapan adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan.

Hasil ujian air kencing ketiga-tiga suspek juga didapati negatif daripada sebarang jenis dadah dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes dalam pada itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram