
DUA lelaki warga asing didenda RM5,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret Kota Tinggi selepas mengaku bersalah memakai pakaian tidak sopan semasa acara larian kontroversi di Pengerang, Kota Tinggi, Johor.
Satyanarayana Prasad Papoli, 70, dan Arthur Wang, 66, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar pada Isnin.
Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin kepada warga Taiwan, Wang dan dalam bahasa Inggeris kepada Satyanarayana dari India.
BACA LAGI: Komtar, Ferringhi Bay dan Bukit Bendera antara 5 'healing spot' terbaik di Pulau Pinang
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan perbuatan lucah sehingga mengganggu orang lain di tempat awam dengan memakai pakaian tidak sopan.
Perbuatan itu dilakukan berhampiran sebuah hotel di Jalan Utama Jalan Desaru, Pengerang sekitar pukul 4 petang hingga pukul 6 petang Jumaat.
Kesalahan itu direkodkan di bawah Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana membuat perkara tidak senonoh secara umum yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes oleh Pengarah Pendakwaan Johor, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding itu, Abdul Ghafar memohon hukuman yang lebih berat kerana kesalahan itu telah menimbulkan rungutan orang ramai.
Beliau juga berkata, hukuman itu harus menjadi pengajaran kepada pengunjung dan penduduk tempatan untuk mematuhi norma di negara ini.
Dalam pembelaannya, Wang yang masih menganggur berkata, dia tidak biasa dengan norma Malaysia dan dia tidak berniat untuk menimbulkan aduan orang ramai.
“Sejak 10 tahun lepas, saya telah mempromosikan budaya orang asli Pulau Orkid di Taiwan. Sekiranya saya tahu bahawa pakaian itu (akan dianggap) tidak senonoh (di Malaysia), saya tidak akan memakainya.
"Saya ingin memohon maaf kepada rakyat negara ini dan rakyat Malaysia amnya, dan saya berjanji bahawa saya tidak akan mengulangi kesilapan ini," katanya sambil menambah bahawa dia juga menganggur.
Sementara itu, Satyanarayana berkata, bukan perkara luar biasa bagi lelaki memakai pakaian wanita semasa acara hash.
“Saya datang ke sini dengan niat murni untuk beramal. Bagaimanapun, saya akui kesilapan saya memakai pakaian wanita,” katanya sambil memberitahu dia merupakan bekas peguam dan menghidap penyakit jantung.
Mahkamah kemudian mendenda setiap lelaki RM5,000 atau penjara sebulan.
Kedua-dua tertuduh kemudian membayar denda itu.
Terdahulu, Ketua Polis Johor Komisaris Datuk M. Kumar berkata, polis telah menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing kerana disyaki melakukan kelakuan tidak senonoh semasa acara larian kontroversi di Kota Tinggi.
Ketiga-tiga suspek berusia 39 hingga 70 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Kota Tinggi kira-kira pukul 10 malam pada Sabtu.
“Penangkapan mereka bagi membantu siasatan ke atas penglibatan mereka melakukan kelakuan tidak senonoh termasuk pendedahan awam semasa acara larian.
“Polis turut merampas beberapa aksesori daripada suspek termasuk sari merah, skirt merah, tiga keping kadbod berwarna perak dengan batang lembing palsu,” katanya.
Pada Sabtu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri akan menyiasat acara larian yang kontroversi itu selepas kebimbangan dibangkitkan mengenai pakaian peserta yang didakwa tidak sesuai.
Tegasnya, acara yang mencetuskan kemarahan di media sosial itu tidak dianjurkan oleh kerajaan negeri atau mana-mana agensinya. — TheStar/REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram