SIAPA sahaja yang melalui halaman Blok B Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor pastinya terpukau melihat keindahan sebuah rumah yang dikelilingi dengan tanaman pokok bunga Ros Jepun Carnation.
Bunga berwarna-warni itu ditanam oleh seorang wanita, Zanariah Halimi yang serin gkali menghabiskan waktu lapangnya dengan penanaman bunga.
Mengimbau kenangan lama, Zanariah berkata, dia mulai terlibat dalam aktiviti pertanian sejak kecil lagi gara-gara sering mengikuti neneknya untuk menanam pelbagai jenis pokok yang berbeza.
BACA LAGI: Retak tulang belakang tak halang anak jati Johor tawan puncak ABC, sedang buat persiapan menuju EBC
Bunga mekar yang ditanam di sekeliling rumah Zanariah.
"Kita zaman dahulu hidup susah, saya tiada ibu dan dibesarkan oleh nenek.
"Jadinya ikut nenek pergi tanam macam-macam jenis pokok seperti keladi, ubi, keledek dan pokok bunga," katanya kepada Majoriti.
Bermula secara suka-suka, kini Zanariah mulai menggunakan hobinya untuk mencari pendapatan sampingan.
Selepas memulakan penjualan menerusi atas talian pada 2021, ramai terpesona melihat bunga Ros Jepun Carnation yang dijualnya.
Manakan tidak, kesemua pokok yang ditanam berada dalam keadaan mekar sehingga menimbulkan suasana tenang buat individu yang melihatnya.
Zanariah menjual pokok bunga Ros Jepun Carnation.
Terdapat 10 warna bunga Ros Jepun Carnation yang ditanam iaitu putih, kuning, jingga, merah jambu, pic, jingga cair, merah, ungu, krim campuran putih pink dan lain-lain.
Zanariah berkata, dia menggunakan baja kopi untuk menggalakkan penghasilan bunga Ros Jepun Carnation yang lebih cantik.
Ini kerana, hampas kopi mengandungi nitrogen, fosforus dan kalium yang membantu pertumbuhan daun, akar dan bunga.
Pokok-pokok bunga Ros Jepun Carnation di sekeliling rumahnya.
Sentiasa memastikan pokok bunga tumbuh subur, wanita berusia 52 tahun itu berkata, dia juga menggunakan racun ulat yang bertujuan mengawal serangan ulat dan serangga perosak.
Zanariah berkata, ulat sering kali memakan daun, batang dan bunga tumbuhan yang menyebabkan bunga menjadi rosak sebelum ia sempat mekar sepenuhnya.
"Sebelum menggunakan racun ulat, periksa tanaman Ros Jepun Carnation untuk mengenal pasti tanda-tanda serangan ulat. Kalau nampak ada lubang seperti daun dimakan pada pokok maksudnya ada ulat.
"Pastikan racun disembur pada semua bahagian tumbuhan," katanya.
Penjualan bunga yang dibuat Zanariah mengikut keratan.
Zanariah berkata, racun ulat yang betul dapat membantu melindungi Ros Jepun Carnation daripada kerosakan dan memastikan tumbuhan kekal sihat serta berbunga dengan cantik.
Selain nama Ros Jepun Carnation, Zanariah berkata, pokok bunga itu juga memiliki nama lain yang sering disebut bagi penduduk kawasan perkampungan.
"Kadang orang sebut bunga lidah cicak atau pun bunga pukul 10. Sebabnya setiap kali pukul 10 pagi bunga ini akan mengembang. Tak tahu kenapa, memang keajaiban Tuhan," katanya.
Zanariah berkata, bunga itu akan menguncup menjelang lewat petang atau apabila cuaca mendung.
"Dalam pukul 2.30 petang atau 3 petang daun tu dia macam tidur, kuncup," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram