
PENDUDUK Taman Eng An di Menglembu dekat Ipoh, Perak dikejutkan dengan pelaksanaan projek pembinaan longkang monsun di kawasan mereka.
Kerja-kerja menggali tanah di sebuah lorong di kawasan tersebut telah merosakkan longkang sedia ada, yang terletak bersebelahan sebuah rumah sehingga menyebabkan tanah di situ terdedah kepada persekitaran.
Pemilik rumah yang terjejas, Ng Choon Hooi, 53, berkata, sebahagian lagi longkang yang sama turut menunjukkan tanda-tanda bahawa ia berpotensi untuk tenggelam pada bila-bila masa.
BACA LAGI: Kenyataan CUEPACS tidak bertanggungjawab, KPM ambil serius dakwaan guru paling ramai palsu MC
BACA LAGI: Diketawakan sebab 'budak Malaysia baru belajar', warga Desa Melor Serendah terap budaya kerja Jepun
“Memandangkan tanah dihanyutkan oleh hujan, saya bimbang tanah di bawah rumah saya akan hilang.
“Ada satu lagi bahagian longkang yang sudah tenggelam kira-kira lima centremeter (cm).
“Tiada tanda keretakan pada dinding rumah saya, tetapi jika lebih banyak tanah terhakis, saya bimbang rumah saya boleh runtuh,” kata ahli perniagaan itu ketika ditemui.
Peniaga kiosk petrol Ng Mun Hooe, 49, juga bimbang hakisan tanah di longkang yang rosak akan menyebabkan tangki minyak bawah tanah di premisnya akan bergeser.
“Jika tangki bergerak, ia boleh menyebabkan paip penyambung putus serta petrol akan bocor ke dalam tanah dan lebih teruk lagi menyebabkan bencana alam sekitar.
“Saya mempunyai tiga tangki bawah tanah ini terletak berhampiran tapak projek.
"Saya juga bimbang kerja menggali tanah akan memberi kesan kepada bangunan saya," tambahnya.
Choon Hooi menunjukkan tanah terdedah di bawah rumahnya di Taman Eng An.
Bekas pengurus jualan David Choong, 64, yang tinggal di sebuah rumah di belakang Choon Hooi turut tidak ketinggalan menzahirkan kebimbangan mengenai kaedah projek itu dijalankan.
Menurutnya, tiada tempat simpanan yang mematuhi standard disediakan pihak kontraktor dan akhirnya boleh menyebabkan longkang sedia ada mengalami kerosakan.
“Kontraktor sepatutnya mengambil langkah pembinaan penebatan yang sewajarnya untuk mengelakkan hakisan tanah.
"Mereka juga harus menutup kawasan yang dikorek supaya hujan tidak menghanyutkan tanah, lebih-lebih lagi sejak keadaan cuaca beberapa hari lalu. Seluruh lorong itu bertukar menjadi 'sungai' ketika hujan lebat.
“Kontraktor juga perlu memastikan longkang sedia ada tidak tersumbat bagi membolehkan air mengalir dengan lancar,” katanya sambil menambah projek itu sudah bermula sejak Ogos.
David juga tidak pasti sama ada projek itu akan berjaya mengurangkan banjir kilat kerana bencana banjir telah melanda kawasan itu sejak 20 tahun lalu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
“Rumah kami terletak di kawasan rendah dan air dari beberapa kawasan lain di hulu termasuk kawasan yang lebih tinggi akan mengalir melalui kawasan ini.
“Terdapat juga longkang monsun sedia ada berhampiran rumah saya yang hampir dipenuhi mendapan menyebabkan ia mudah melimpah dan menenggelami kediaman kami.
“Saya harap Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga akan melakukan sesuatu terhadap longkang lain yang rosak atau tersumbat di hulu sungai,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 14 rumah di kawasan itu.
Seorang lagi penduduk iaitu Gurdip Singh berharap, MBI akan membetulkan semua isu yang telah dibangkitkan oleh penduduk di sana.
“Saya harap kontraktor akan mengikut prosedur operasi standard. Mereka sepatutnya meletakkan cerucuk-cerucuk sebelum mereka menggali lorong itu
"Kami tidak mahu nyawa kami terancam kerana beberapa kerja yang tidak baik," katanya sambil menambah bahawa kawasan perumahan biasanya akan ditenggelami air selepas kira-kira 30 minit hujan lebat.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihak kontraktor telah diarah mengambil tindakan segera bagi membetulkan isu yang dibangkitkan penduduk.
“Kami juga meminta kontraktor menyegerakan kerja pemasangan dan memastikan tiada lagi tanah akan terdedah daripada kerja penggalian,” katanya sambil menambah bahawa keseluruhan projek itu dijangka siap dalam beberapa minggu akan datang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram