Kenyataan CUEPACS tidak bertanggungjawab, KPM ambil serius dakwaan guru paling ramai palsu MC


  • Primer
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Fadhlina berkata, isu terbabit tidak sepatutnya berbangkit kerana tatakelola penjawat awam sentiasa diberi perhatian demi memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tampil menyangkal dakwaan mengaitkan guru sebagai penjawat awam yang paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC) adalah tidak bertanggungjawab.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dakwaan tersebut juga memberi persepsi negatif terhadap profesion keguruan dan isu tersebut tidak sepatutnya berbangkit.

BACA LAGI: CUEPACS gesa KKM atasi isu kekurangan petugas, terpaksa dikerah kerja lebih masa

BACA LAGI: Ketua jabatan jangan pilih bulu elak penjawat awam bermasalah terima kenaikan gaji — Cuepacs

“Tatatekolala penjawat awam sentiasa diberi perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.

“Kementerian Pendidikan (KPM) juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam.

“Pemantauan dilaksanakan secara berterusan di setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bahawa golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terbabit dalam salah laku memalsukan surat sakit.

CUEPACS berkata, setiap tahun kira-kira satu hingga dua peratus daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi cuti sakit palsu selain sengaja menggunakan cuti kecemasan semata-mata mahu melanjutkan tempoh bercuti.

gambar isi

Guru dipetik sebagai penjawat awam yang paling ramai memalsukan MC. — Gambar Hiasan

Selain itu, dalam laporan berkenaan juga memetik bahawa guru kumpulan penjawat awam paling ramai memalsukan MC, selain ada dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.

Mengulas lanjut, Fadhlina menjelaskan bahawa ketika ini, terdapat lebih 400,000 guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti.

Ujar beliau, kerajaan MADANI menghargai peranan penting guru membangunkan negara.

“Sebagai penghargaan kepada sumbangan guru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam pada Ogos lalu.

“KPM juga melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuk menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru,” katanya.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM bertekad untuk terus memartabatkan profesion keguruan.

Tambahnya, profesionalisme guru mendidik anak bangsa perlu disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram