KPM guna modul pembelajaran khas bantu pendidikan kanak-kanak rumah amal GISB


  • Primer
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Polis menyerbu rumah jagaan kanak-kanak GISB ketika Ops Global.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah melaksanakan satu modul pembelajaran khas untuk kanak-kanak rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), yang mendapat perlindungan pihak berkuasa.

KPM dalam kenyataan pada Khamis, program berkenaan menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (Prisma), akan membantu memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak terbabit, yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan negara.

BACA LAGI: Kanak-kanak, wanita antara lebih 10 individu diperiksa dalam serbuan di pusat komersial GISB Rawang

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa budak lelaki kena rotan di rumah amal GISB buat laporan polis

“Program pendidikan ini direka khusus untuk memberi akses kepada pendidikan formal dan tersusun kepada kanak-kanak terbabit bagi mengelak mereka ketinggalan dalam pembelajaran,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kementerian itu berkata, kit berkenaan akan menekankan aspek sosio-ekonomi, kognitif dan fizikal untuk membina keyakinan diri kanak-kanak. Ia juga merupakan satu bentuk penyediaan pembelajaran holistik yang merangkumi literasi dan numerasi.

Bagi modul pula, ia menerapkan elemen yang meningkatkan kesedaran potensi diri serta memupuk keseimbangan antara aspek jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek kanak-kanak bagi menyediakan mereka menghadapi persekitaran pembelajaran baharu.

"Selaras dengan agenda pendidikan yang berperikemanusiaan, kementerian komited untuk memastikan kanak-kanak terbabit mendapat peluang pendidikan terbaik dan tiada sesiapa yang terpinggir," katanya.

DALAM DALAM

Difahamkan, seramai 68 guru KPM telah ditugaskan untuk mendidik kanak-kanak berkenaan.

Pada awal September, polis melancarkan Ops Global, melakukan serbuan ke atas rumah kebajikan yang berkaitan dengan GISB di seluruh Semenanjung Malaysia yang disyaki melakukan eksploitasi dan salah laku berkaitan aktiviti keagamaan.

Semasa operasi ini, 572 mangsa berjaya diselamatkan, dan 359 pengikut GISB, termasuk pengurusan tertingginya, telah ditangkap.

Pada 2 Oktober lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kanak-kanak itu menjalani pemeriksaan kesihatan mental manakala kaunseling telah pun diberikan kepada mereka yang memerlukannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram