[VIDEO] Pemuda rakam sendiri aksi lompat stesen monorel Bukt Bintang masih bebas


  • 112
  • Selasa, 01 Okt 2024

Seorang lelaki melakukan aksi melompat bagi melintasi landasan di stesen monorel Bukit Bintang pada minggu lepas.

POLIS masih mengesan lelaki yang merakam aksi dirinya melompat sewaktu melintasi landasan di stesen monorel Bukit Bintang pada minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, video berdurasi empat saat tersebut telah dikesan apabila dimuat naik di platform media sosial Xiaohongshu pada 24 September lepas.

Sulizmie berkata, polis setakat ini merekodkan keterangan tiga saksi bagi membantu siasatan.

“Kami masih mencari suspek.

“Kami sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran papan iklan digital yang mempamerkan mesej pencegahan jenayah dan antijenayah polis di balai polis Sri Hartamas pada Isnin.

BACA LAGI: Sabari sah dibunuh, suspek mengaku campak mangsa dalam Sungai Padang Terap

BACA LAGI: Kes Daesh: Bekas Ketua Kumpulan 'Wolf Pack' kena penjara 10 tahun, didapati bersalah terlibat aktiviti keganasan

Sulizmie menggesa mereka yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222, talian hotline polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

Laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh polis bantuan Prasarana pada 25 September lepas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob yang melancarkan papan iklan digital itu berkata, ia akan membolehkan maklumat terkini mengenai mesej dan aktiviti anti-jenayah polis disebarkan dengan lebih berkesan.

"Mesej sebegini boleh sampai kepada orang ramai kerana papan iklan itu akan menonjol untuk pengguna jalan raya dan pejalan kaki," katanya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram