PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Bajet 2025 akan memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan mengurangkan subsidi untuk golongan 'kayangan, termasuk dalam pendidikan.
"Kami meneruskan dengan memastikan peruntukan itu akan diagihkan dengan sewajarnya dan untuk menghentikan ketirisan. Kami juga mahu menghentikan subsidi tinggi yang sedang dinikmati oleh anak-anak golongan ultra kaya yang bersekolah di sekolah menengah sains.
“Saya katakan ini sebagai petunjuk awal sebelum mengumumkan Belanjawan bulan depan. Kita mesti benar-benar berlaku adil kepada mereka yang memerlukan, terutamanya kepada golongan seperti kanak-kanak autisme misalnya," katanya.
BACA LAGI: Belanjawan 2025 dijangka dibentang 18 Oktober ini
BACA LAGI: Perincian kenaikan gaji penjawat awam diumum sebelum Bajet 2025 — PM Anwar
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam ucapannya di Simposium Kebangsaan Menamatkan Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Isnin.
Perdana Menteri berkata, langkah berkenaan tidak popular tetapi perlu dilakukan untuk membantu negara.
Beliau kemudian menegaskan bahawa kerajaan harus menghentikan pemberian subsidi kepada golongan ultrakaya dan warga asing, sebaliknya menggunakan wang itu untuk membantu rakyat serta mereka yang memerlukan.
Anwar juga seolah-olah memberi petunjuk mahu menghentikan pemberian subsidi kepada warga asing.
"Warga asing ini tidak membayar cukai dan apa yang mereka perolehi akan dihantar pulang ke negara asal mereka. Tetapi kita masih memberi mereka subsidi, termasuk subsidi elektrik, selama bertahun-tahun lamanya.
"Jadi, kita kena lihat isu itu secara lebih menyeluruh. Bagaimana kita hendak mendapat pendapatan dan pada masa sama bagaimana kita mengagihkannya," jelasnya.
Bajet 2025, yang ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan, akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,