[VIDEO] Angkara pemandu lori macam 'tiada akal' di Dengkil, penunggang motor parah nyaris 'disapu' kereta lain


  • 112
  • Ahad, 29 Sep 2024

Tangkap layar sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu di lorong kiri laluan utama menghala ke arah Cyberjaya-Puchong.

SEORANG penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan selepas dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian di Kilometer 48.7 Lebuhraya Cyberjaya dekat Dengkil, Selangor pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan berkata, kejadian melibatkan tiga kenderaan itu berlaku kira-kira pukul 9 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu di lorong kiri laluan utama menghala ke arah Cyberjaya-Puchong telah membelok ke kiri masuk ke laluan susur keluar dari Stesen Minyak Caltex.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu lori selamba hisap rokok lepas jadi punca kemalangan maut di Nilai sah positif dadah

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

"Dalam masa sama sebuah motosikal jenis Yamaha yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun sedang bergerak keluar dari susur tersebut.

"Penunggang motosikal cuba mengelak namun disebabkan jarak yang dekat, mangsa terlanggar bucu belakang sisi sebelah kanan lori sebelum terbabas jatuh di lorong paling kanan laluan utama Lebuhraya Cyberjaya (Dengkil)/Puchong.

"Kereta jenis Perodua Axia yang sedang bergerak di lorong paling kanan tidak sempat mengelak dan terlanggar motosikal yang jatuh di atas jalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

WhatsApp Image 2024-09-29 at 14.52.46

Keadaan kereta Axia dan motosikal jenis Yamaha itu.

Shan Gopal memaklumkan, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan ringan, luka dan calar di tangan serta kepala.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada penangkapan dibuat setakat ini.

"Siasatan lanjut masih diteruskan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," maklumnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram