[VIDEO] Hasrat beli nasi lemak tak kesampaian, ibu dan anak OKU ditemukan lemas lepas dihanyutkan banjir di Padang Terap


  • 112
  • Ahad, 29 Sep 2024

Dua beranak yang dikhuatiri lemas itu sempat meninggalkan nasi lemak yang baru dibeli di atas tunggul pokok di Kampung Tanjung Kiri pada Sabtu. — JBPM Kedah

SEORANG ibu dan anak yang difahamkan keluar membeli nasi lemak dikhuatiri dihanyutkan arus deras ketika cuba mengharungi banjir kilat di Kampung Tanjung Kiri, dekat Jalan Padang Sanai, Padang Terap, Kedah pada Sabtu.

Penduduk kampung, Mohd Sofi Rhazalee melihat ibu tunggal Salmah Mat Zain, 46, dan anak lelakinya, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) bergelut melawan banjir deras di Kampung Tanjung Kiri.

Mayat remaja itu ditemui pada pukul 5.25 petang di ladang kelapa sawit, kira-kira 150 meter (m) dari tempat dia dan ibunya kali terakhir dilihat, berikutan operasi mencari dan menyelamat selama 10 jam.

BACA LAGI: Mayat mangsa lemas di Sungai Subong ditemukan

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

Saksi Mohd Sofi, 39, yang pulang dari membeli sarapan menceritakan ketika kejadian dia baru pulang dari membeli makanan pagi dan ternampak mangsa yang sedang berpaut di pokok getah.

Katanya, dia menjerit meminta mereka berpatah balik tetapi Salmah terlepas genggamannya dan anaknya cuba menariknya ke belakang.

Di sebalik usaha Mohd Sofi dan penduduk kampung lain, ibu dan anak lelaki itu akhirnya hanyut dibawa arus.

Dilaporkan, anak-beranak itu menunggang motosikal sejauh 3 kilometer (km) untuk membeli nasi lemak walaupun jalan utama dinaiki air.

Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang, mereka meletakkan motosikal di rumah seorang penduduk kampung dan cuba mengharungi air banjir dengan berjalan kaki.

KUALA NERANG, 28 Sept -- Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat dua beranak yang dihanyutkan arus deras banjir di Kampung Tanjung Kiri di sini, hari ini.Seorang saksi Mohd Sofi Rhazalee, 39, berkata beliau menyaksikan sendiri detik cemas semasa ibu tunggal Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya Muhammad Rosman Rohadi, 19, dihanyutkan arus deras.--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 yang memaklumkan dua mangsa dihanyutkan air deras di Padang Terap. — JBPM Kedah

“Mayat mangsa remaja ditemui terjerat dalam pelepah sawit, kira-kira 150m dari tempat mereka kali terakhir dilihat, ditenggelami air banjir,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian selepas mayat Rosman dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, selepas operasi mencari disambung semula pada pagi Ahad, mayat ibu kepada remaja OKU itu pula ditemui lemas pada pukul 7.45 pagi.

Ahmad Aminuddin berkata, mayat wanita berkenaan ditemui 50m dari lokasi mayat anaknya yang dijumpai pada Sabtu.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa disambung semula pukul 7.28 pagi (Ahad) dan semasa pemantauan awal dijalankan di lokasi, mayat mangsa ditemui di sekitar ladang sawit.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis pukul 7.50 pagi untuk tindakan lanjut dan operasi ditangguhkan selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram