Bukit Aman tahan 'money man' GISB, jejak aliran wang dan aset


  • 112
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Perniagaan yang dikaitkan dengan GISB sudah lumpuh hasil serbuan dan operasi pihak polis terhadap organisasi tersebut.

KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan pihaknya sedang menjejak transaksi aliran wang dan kesemua aset yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services dan Business Holdings (GISB) dalam negara.

Menurutnya, proses itu akan mengambil masa mengikut siasatan yang dilancarkan terhadap individu ditahan dan maklumat risikan diperoleh.

"Ketika ini, kami sedang dalam usaha menjejak aset dan aliran wang, sama ada menerusi akaun dikaitkan dengan syarikat itu mahupun individu yang terlibat dengannya.

BACA LAGI: Bapa 'buat-buat lupa' ada 34 anak, penghuni GISB kena doktrin anak yatim

BACA LAGI: Pendaftaran syarikat terkait dengan GISB berisiko batal jika langgar peraturan — Menteri

IGP Tan Sri Razarudin Husain during PC on GISB/Ops Global Investigation. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Razarudin (tengah) menegaskan pihaknya sedang menjejak wang dikaitkan dengan GISB.

"Bagi individu, kami sedang menjejak akaun kesemua ahli GISB serta mereka yang berkaitan dengannya. Setakat ini, hampir kesemua aset GISB sudah disita ketika serbuan dibuat dalam Ops Global," katanya.

Razarudin turut berkata, kesemua perniagaan dan premis yang berada di bawah kendalian GISB sudah tidak beroperasi selepas serbuan besar-besaran dilancarkan terhadap mereka sepanjang September.

"Berdasarkan maklumat terkumpul, aktiviti perniagaan GISB menunjukkan trend penurunan sejak Ogos selepas kelakuan mereka dibongkar menerusi akaun Facebook Pukas Malaysia.

"Hal itu menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap organisasi itu terkesan dengan kami percaya pendedahan tersebut membuatkan sokongan terhadap perniagaan mereka menurun," katanya.

Beliau menjelaskan langkah seterusnya dalam Ops Global adalah dengan mengumpul sebanyak mungkin maklumat bagi menyelesaikan siasatan yang sudah dilancarkan.

Chief executive officer (CEO) of Global Ikhwan Services (front white baju Melayu) with others being escorted  to the Shah Alam Magistrate's Court for remand extend.— KK SHAM/ The Star

Kira-kira 300 ahli GISB sudah ditahan sejak Ops Global dilancarkan PDRM.

Dalam pada itu, Razarudin turut mengesahkan penahanan Shuhaimee Mohamed yang difahamkan menjadi 'money man' kepada GISB, berdasarkan pendedahan laman Facebook Pukas Malaysia.

Individu berkenaan ditahan dalam satu serbuan dilancarkan pihak polis di Butterworth, Pulau Pinang pada Sabtu lalu dengan beberapa yang lain turut ditahan.

"Dia berada di bawah tahanan selepas ketua tertinggi mereka, Nasiruddin Mohd Ali ditahan di Kuala Lumpur dua hari sebelumnya. Kami masih melakukan siasatan terhadap Suhaimee dan beberapa ahli GISB lain, termasuk akaun bank milik mereka.

"Dari situ, kami akan dapat menjejaki kesemua aliran wang yang dikaitkan dengan organisasi berkenaan," katanya.

CRGISKLA120924

Aset dimiliki GISB sudah disita hasil serbuan dilancarkan pihak polis.

Pada 19 September lalu, serbuan polis berjaya menahan beberapa ketua GISB, termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) mereka, Nasiruddin serta isteri dan dua orang anak lelakinya.

Setakat ini, seramai 300 individu sudah ditahan dalam 20 serbuan dan siasatan dilancarkan pihak polis di rumah jagaan yang dikaitkan dengan GISB sejak 11 September lalu dengan seramai 572 kanak-kanak sudah diselamatkan.

Razarudin berkata, serbuan Ops Global yang dilancarkan pada Sabtu lalu menyaksikan sebanyak 138 akaun bank mengandungi wang sebanyak RM882,795 sudah dibekukan.

Tindakan itu diambil Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Bagaimanapun, serbuan yang dilakukan itu mendapati premis dikaitkan dengan organisasi itu sudah ditinggalkan dengan mereka yang terlibat dipercayai sudah melarikan diri.

Setakat ini, sebanyak 35 kertas siasatan dibuka sejak 11 September lalu dengan pihak polis percaya GISB memiliki keanggotaan mencecah 10,000 ahli. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram