Pejabat Diraja Selangor siar surat permohonan maaf MB Kedah


  • Primer
  • Khamis, 26 Sep 2024

Muhammad Sanusi mengakui bahawa kenyataan beliau itu telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah menggores hati serta perasaan baginda.

PEJABAT Diraja Selangor telah menyiarkan surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan yang dibuatnya pada Julai tahun lepas yang didakwa memfitnah dan tidak menghormati Raja Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor Royal Official, Sultan Sharafuddin telah menerima surat bertarikh 25 September, yang termasuk permohonan pengampunan atas kenyataan MB Kedah yang didakwa menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor sehingga menjadi kes mahkamah.

Jelas kenyataan itu, Muhammad Sanusi mengakui bahawa kenyataan beliau itu telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah menggores hati serta perasaan baginda.

BACA LAGI: 'Saya benar-benar insaf', ahli GISBH dihukum penjara 10 tahun atas kesalahan dera kanak-kanak

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa budak lelaki kena rotan di rumah amal GISB buat laporan polis

"Beliau (Muhammad Sanusi) benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan tersebut," menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Official pada Khamis.

Terdahulu, Muhammad Sanusi memohon ampun kepada Sultan Selangor berikutan kenyataan beliau pada Julai tahun lalu yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda.

Selain itu, Muhammad Sanusi turut memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan rakyat negeri itu atas keterlanjuran kata-kata beliau.

Muhammad Sanusi turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan memastikan setiap ucapan beliau selaras dengan adab sopan serta budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja.

Pada 29 Februari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah beliau terhadap dua pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram