SEJAK kebelakangan ini, rakyat Malaysia digembar-gemburkan dengan kes penyebaran ajaran sesat melibatkan kumpulan lanjutan atau bekas pengikut Al-Arqam iaitu Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Ia bermula dengan tangkapan dilakukan pihak polis di sebuah rumah kebajikan milik GISBH selepas menerima laporan berkenaan berlakunya penderaan seksual sehingga pendakwaan menyebarkan ajaran bercanggah dengan tuntutan Islam.
Beberapa negeri termasuk, Perlis, Terengganu dan Kelantan turut mengambil langkah mengeluarkan fatwa bahawa kepercayaan dan ajaran dalam organisasi itu mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
BACA LAGI: Perlis negeri pertama keluar fatwa, GISBH sebar ajaran sesat
BACA LAGI: GISBH: Disyaki cuba lupus bukti, 4 beranak direman di Kelantan
Puluhan buku ditemui ditanam di tepi sungai Pengkalan Datu selepas polis melakukan serbuan di kediaman pimpinan dan pengikut GISBH di Kampung Panji, Kelantan pada Rabu.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin susulan itu berkata, model ekonomi GISB bertentangan dengan ajaran Islam yang tidak membenarkan eksploitasi dan perhambaan kanak-kanak dan wanita.
Menurutnya, kepercayaan masyarakat GISB yang mengidolakan pemimpin dan tokoh agama mereka sudah melampaui batas untuk menyamakan mereka dengan kenabian, memiliki keupayaan untuk melakukan mukjizat dan mengetahui perkara ghaib seolah-olah mereka adalah Tuhan.
Akidah itu juga jelas sesat dan dianggap tersasar daripada Islam.
Tambahnya, pemujaan terhadap pemimpin telah memupuk kesetiaan kepada tokoh-tokoh ini walaupun ia bertentangan dengan al-Quran dan ajaran Nabi.
Kes tersebut sekali gus menimbulkan ketakutan dan keraguan kepada masyarakat untuk percaya terhadap mana-mana organisasi lain yang mungkin melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan cara telus.
Tanpa kita sedar, ajaran sesat sebenarnya bukan berlaku di Malaysia sahaja, malah di beberapa negara lain juga.
Bagi individu beragama Islam yang gemar dan kerap ke luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), pastinya kebimbangan utama adalah tempat solat iaitu masjid atau surau.
Terdapat ciri-ciri yang boleh dikenal pasti khususnya buat pelancong dari luar negara. — Gambar hiasan/Agensi
Tidak dinafikan bahawa fasiliti dan kemudahan beribadah ada disediakan di sesetengah kawasan di AS, namun kes GISBH secara tidak langsung membuatkan orang ramai lebih berhati-hati memilih masjid untuk menunaikan solat.
Justeru, terdapat beberapa cara boleh digunakan untuk mengenal pasti masjid itu mengamalkan ajaran syiah yang bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya di AS.
Berdasarkan perkongsian seorang warga Malaysia yang menetap dan bekerja di AS beberapa tahun melalui akaun Facebooknya Mail-Boy: US to Malaysia Shipping, antara ciri perlu diperhatikan adalah nama masjid, reka bentuk, perhiasan dalaman dan logo sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurutnya, kebanyakan masjid yang mempunyai elemen ajaran syiah di negara itu diberikan nama seperti Ali, Hussein, Fatimah atau Ahlul Bait.
Selain nama, pengunjung juga dinasihatkan untuk melihat reka bentuk atau perhiasan yang diletakkan di dalam masjid tersebut.
"Kadang-kadang ada masjid yang nampak ada perhiasan seperti keranda, tulisan atau logo-logo pelik.
"Ada juga nama masjid Ahmadi atau Ahmadiyya. Masjid ini nampak normal dari luar tapi pengunjung boleh periksa jika ada tulisan Hazrat atau Khalifah.
"Selain itu, ada sesetengahnya letak nama Muhammad seperti Masjid Muhammad atau Temple Muhammad tapi ada nombor di belakang nama itu," katanya.
Masjid tersebut adalah Masjid Nasional Islam yang mempunyai reka bentuk unik dengan susunan kerusi seakan-akan di gereja dan tiada ruang solat besar.
Bagaimanapun, terdapat beberapa masjid lain yang kurang meragukan buat pengunjung Muslim untuk beribadah tanpa syak wasangka.
"Kalau nak lagi selamat, lebih baik cari masjid yang ada nama Uthman, Umar atau Abu Bakar sebab masjid ini selalunya dikunjungi Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ).
"Tetapi, kalau jumpa masjid dengan nama depan Bilal (individu yang mengumandangkan azan untuk panggilan solat) dan biasanya masjid warga Afrika dan mereka bukan sesat," jelasnya.
Secara asasnya, Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) adalah mereka yang mengikut jejak langkah dilalui Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda dalam memahami dan mempraktikkan iman, Islam dan ihsan.
Disebabkan itu, para pelancong Muslim yang berhajat untuk ke AS boleh menggunakan tip tersebut untuk mencari masjid sesuai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram