SALAH seorang tahanan yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) mempunyai empat isteri dan 34 anak, mendakwa dia tidak tahu keberadaan 32 anaknya lagi.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, lelaki itu adalah antara 156 suspek yang ditahan dalam serbuan di lokasi milik GISB semasa Ops Global pada 21 September lalu.
BACA LAGI: G25 sokong gesaan tubuh RCI berhubung dakwaan dera, eksploitasi kanak-kanak di rumah amal GISB
BACA LAGI: Beroperasi tanpa permit dan langgar syarat lesen, MPS tutup 16 premis GISB di Rawang
“Hanya dua anak bersamanya dan dia tidak tahu di mana 32 anaknya yang lain.
“Siasatan menunjukkan bahawa ia perkara biasa dalam kalangan anggota kumpulan itu,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dekat Kuala Lumpur pada Isnin.
Razarudin berkata, polis juga percaya kesemua kanak-kanak yang diselamatkan polis adalah anak anggota GISB.
Pada Sabtu lalu, KPN mengesahkan bahawa seramai 156 individu, terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita, telah ditahan.
Serbuan awal semasa seramai 402 kanak-kanak rumah amal dipercayai milik GISB diselamatkan polis menerusi Op Global di Negeri Sembilan dan Selangor. — PDRM
Beliau berkata, daripada mereka yang ditahan, 55 orang berumur 18 hingga 30 tahun; 31 hingga 50 tahun (53 orang); 50 hingga 65 (32 orang) dan 16 berumur 65 tahun ke atas.
Dengan sebahagian besar struktur kumpulan itu dibongkar, Razarudin menggesa ahli GISB yang masih tinggal untuk menyerahkan diri.
"Fokus kami adalah untuk menyelamatkan anak-anak. Kebajikan mereka adalah keutamaan kami," katanya.
Antara 11 September dan 19 September, seramai 200 orang, termasuk pengurusan tertinggi GISB, telah ditahan dalam serbuan di beberapa negeri. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram