Polis terima 10 laporan baharu kes eksploitasi buruh paksa GISB termasuk di Kedah, Sarawak


  • 112
  • Khamis, 26 Sep 2024

Polis menerima 10 laporan dibuat individu yang dipercayai pernah menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa melibatkan syarikat GISBH.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima 10 lagi laporan polis daripada mereka yang didakwa menjadi mangsa buruh paksa yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB).

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, mangsa-mangsa yang terlibat berumur dalam lingkungan 14 sehingga 20-an pada tarikh kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa budak lelaki kena rotan di rumah amal GISB buat laporan polis

BACA LAGI: [VIDEO] Seramai 13 budak GISB pernah diliwat — KPN

"Kes-kes itu berlaku dari 2013 hingga tahun ini. Laporan polis dibuat bagi kejadian di Miri (Sarawak), Rawang (Selangor) dan Alor Setar (Kedah)," katanya ketika dihubungi pada Khamis .

Lebih 300 individu telah ditahan dalam siasatan polis ke atas 20 rumah jagaan yang diserbu yang dikaitkan dengan GISB sejak 11 September lepas.

Polis turut menyelamatkan 572 kanak-kanak dalam operasi yang diberi nama kod Ops Global.

Dalam serbuan Ops Global yang dijalankan pada Sabtu lepas, Razarudin berkata, sejumlah 138 akaun bank mengandungi RM882,795 milik GISB telah dibekukan.

Beliau berkata, bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) sekretariat KPN telah membekukan akaun di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram ( AMLATFPUAA) 2001.

isi dalaman poilis

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Razarudin berkata, serbuan pada Sabtu itu menunjukkan terdapat premis kosong selepas anggota GISB dipercayai telah melarikan diri.

"Kami prihatin terhadap kesejahteraan mereka kerana struktur GISB telah runtuh, justeru ahli tidak mempunyai tempat untuk berpatah balik atau tempat tinggal.

"Kami menggesa mereka tampil ke hadapan supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan, terutama untuk kanak-kanak," jelasnya.

Razarudin turut meminta individu pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membolehkan siasatan dilengkapkan secara tuntas serta menyeluruh.

“Kami juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya sambil menambah dianggarkan terdapat 10,000 ahli GISB.

Sebanyak 35 kertas siasatan telah dibuka sejak 11 September lalu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram