Mahu selesai cara baik, kes cerai Fattah-Fazura tangguh 7 Oktober


Mahkamah menangguhkan kes sebutan permohonan cerai pada 7 Oktober depan untuk pihak-pihak berbincang sebelum tarikh prosiding.

KES perceraian melibatkan pasangan selebriti popular tanah air, Nur Fazura dan Fattah Amin ditangguhkan ke 7 Oktober depan.

Peguam syarie yang mewakili Nur Fazura iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, penangguhan tersebut dibuat selepas menerima cadangan baharu daripada defendan yang menginginkan kes itu diselesaikan secara baik.

"Pagi ini (Rabu) ditetapkan sebutan permohonan perceraian oleh Fazura di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dengan kebenaran mahkamah dan saman tersebut sudah diserahkan kepada Fattah serta sudah diterima.

"Bagaimanapun, kami turut menerima satu cadangan penyelesaian daripada pihak Fattah sekali gus mahkamah menangguhkan kes ini pada 7 Oktober ini untuk pihak-pihak berbincang sebelum tarikh prosiding," katanya pada sebutan pertama kes perceraian pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor, pada Rabu.

Pasangan yang berkahwin pada November 2017 itu mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun.

Pada 17 September lalu, satu fail permohonan perceraian yang melibatkan Fattah dan Fazura menjadi tular.

Permohonan itu dibuat di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. — The Star/NOOR AZLIDA ALIMIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram