Warga Pulau Pinang dinasihatkan jimat air, siap sedia hadapi kemarau Januari 2025


  • Primer
  • Isnin, 23 Sep 2024

Seluruh rakyat di Pulau Pinang digesa untuk menjimatkan penggunaan air bagi menangani musim kemarau yang dijangka berlaku pada Januari 2025. — Gambar hiasan

SELURUH warga Pulau Pinang dinasihatkan untuk bersiap sedia menghadapi musim kemarau pada Januari 2025 disebabkan rizab air berada di paras rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan susulan itu menyarankan rakyat negeri itu supaya menggunakan air dengan bijak dan jimat bagi memulihkan keadaan rizab air itu.

K. Pathmanathan berkata, kapasiti efektif empangan Air Itam dan Teluk Bahang akhirnya menunjukkan peningkatan dengan hujan lebat di Pulau Pinang sejak 1 September lalu selepas lapan bulan ia kering.

BACA LAGI: [VIDEO] Rempuh motor polis di Telok Panglima Garang, 3 perompak naik SUV diburu

BACA LAGI: Pelajar tercicir tak minat lanjut ke Tingkatan 4 boleh masuk TVET

6020438543261873507

Paras air di Empangan Teluk Bahang. — The Star

Bagaimanapun, rizab kedua-dua empangan itu menurutnya, mesti mencapai paras jauh lebih tinggi sebelum musim kemarau akan datang yang dijangka bermula pada Januari 2025.

"Sehingga Isnin, paras air di empangan Air Itam dan Teluk Bahang masing-masing ialah 58.3 peratus dan 31.3 peratus manakala, paras air di Empangan Mengkuang ialah 90.3 peratus.

"Misi utama kami adalah untuk memudahkan pengisian semula empangan Air Itam dan Teluk Bahang secara optimum dari September hingga Disember 2024.

"Bergantung kepada jumlah hujan dan penggunaan air, adalah tidak mustahil untuk kapasiti efektif Empangan Air Itam meningkat daripada 58.3 peratus kepada 85 peratus atau lebih menjelang Disember 2024 nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 2,159 juta liter, manakala Empangan Teluk Bahang ialah 19,240 liter.

Katanya, daripada tiga empangan itu, satu di Air Itam ialah yang paling kecil. Ia memberi perkhidmatan kepada kira-kira 28,948 pengguna di kawasan berhampiran.

Pathmanathan berkata, sejak Februari 2024, PBAPP, dalam Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) berhasil mengepam sehingga 33 juta liter sehari air terawat dari Loji Rawatan Air (LPA) Sungai Dua ke dalam Kawasan perkhidmatan Empangan Air Itam.

"Pelan itu meminimumkan pengeluaran harian dari empangan ini dan memudahkan pengisian semula yang lebih cepat.

"Empangan Teluk Bahang mempunyai kapasiti efektif maksimum 18,240 liter dan memberi perkhidmatan kepada kira-kira 45,850 pengguna di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran di Pulau Pinang.

"Empangan Teluk Bahang diisi semula terutamanya oleh hujan di kawasan tadahan air (WCA) Teluk Bahang. Semasa musim hujan (termasuk musim hujan sekarang), PBAPP mengepam air dari WCA Batu Ferringhi dan Sungai Pinang untuk mengisi semula Empangan Teluk Bahang secepat mungkin," katanya lagi.

Tambahnya, rizab air Empangan Mengkuang (EMD) yang Diperluaskan pula sudah hampir mencapai pada tahap optimum.

"Rizabnya disalurkan ke LPA Sungai Dua apabila PBAPP tidak dapat mengabstrak air yang mencukupi daripada Sungai Muda (sumber air mentah utama Pulau Pinang).

"Air terawat daripada LPA Sungai Dua pula dibekalkan kepada kira-kira 465,000 pengguna di semua lima daerah di Pulau Pinang, di tanah besar dan pulau," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram