KEMAJUAN teknologi khususnya dalam kecerdasan buatan (AI) mencakupi pelbagai aspek termasuk daripada segi memperkasakan lagi tahap keselamatan kawalan pintu-pintu masuk di sempadan negara.
Tahap kecekapan pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) terhadap barang dagangan di pintu sempadan dapat ditingkatkan menerusi pengimbas baharu berteknologi AI yang ditempatkan di pintu masuk negara.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin berkata, fungsi sistem AI di dalam mesin pengimbas berupaya mengenal pasti barang yang diimbas bagi tempoh 20 hingga 30 saat dengan ketepatan 100 peratus.
BACA LAGI: [VIDEO] Kastam rampas rokok, minuman keras bernilai RM12.8 juta dalam 2 serbuan berasingan di Johor
BACA LAGI: Kontena ZIM bawa muatan ayam sejuk beku dari sempadan Malaysia-Thailand diarah patah balik
JKDM memiliki mesin pengimbas yang canggih berbanding negara-negara lain di rantau ini.
Menurutnya, teknologi canggih itu menggunakan Dual-View Dual Energy System (DVDES) yang mampu meningkatkan keupayaan pengesanan dan analisis dengan baik serta teliti dalam proses imbasan.
“Pada masa ini, JKDM memiliki mesin pengimbas yang canggih berbanding negara-negara lain, malahan negara seperti Singapura, Australia dan Uzbekistan turut berminat untuk mendapatkan maklumat berkenaan mesin-mesin pengimbas berkenaan daripada JKDM,” katanya.
Anis Rizana memberitahu, mesin pengimbas yang canggih dan berteknologi tinggi itu banyak membantu JKDM dalam mengekang penyeludupan seterusnya dapat mengurangkan ketirisan hasil negara.
Mesin pengimbas dengan fungsi AI berupaya mengenal pasti barangan dalam masa 20 hingga 30 saat dengan ketepatan 100 peratus.
Buktinya, pencapaian mesin pengimbas itu amat memberangsangkan apabila membantu JKDM merekodkan 3,465 kes dengan nilai rampasan barangan termasuk duti/cukai berjumlah RM713.89 juta bagi tempoh Januari hingga Jun 2024.
Angka itu menunjukkan peningkatan dalam tempoh sama pada tahun 2023 yang mencatatkan rekod 3,926 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM364.55 juta.
Ini sekali gus menyaksikan keseluruhan nilai rampasan barangan meningkat sebanyak 95.83 peratus.
Anis Rizana berkata, kejayaan Kastam memperhebat usaha mengesan kegiatan penyeludupan selaras dengan aspirasi agensi penguat kuasa itu untuk terus berkhidmat dengan cekap, tangkas dan berintegriti.
Bahkan, perkara itu pernah ditekankan kepada seluruh warga Kastam supaya sentiasa terus berusaha gigih dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan segala perancangan yang direncanakan berjalan lancar dan berjaya.
Anis Rizana memberitahu, mesin pengimbas yang canggih dan berteknologi tinggi itu banyak membantu JKDM dalam mengekang penyeludupan seterusnya dapat mengurangkan ketirisan hasil negara.
Mengulas daripada segi penggunaan, Anis Rizana berkata, mesin pengimbas canggih itu dikendalikan oleh anggota dan pegawai JKDM yang telah menjalani latihan kemahiran berkaitan pengecaman dan penganalisis imej melalui pengalaman dan pengetahuan (Human Intelligence – HI).
Katanya, JKDM yakin gandingan di antara AI dan HI akan memberi impak yang sangat tinggi terhadap penguatkuasaan untuk mengekang aktiviti penyeludupan dan meningkatkan pungutan hasil negara.
Aspek tersebut juga menurutnya bagi mendukung kerangka Ekonomi MADANI yang mengutamakan peningkatan tatakelola dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik dalam mengembali keyakinan rakyat.
Sementara itu, Anis Rizana berkata, ketika ini pihaknya mempunyai sebanyak 60 unit mesin pengimbas baharu (bagasi dan kargo udara) yang moden, berkeupayaan tinggi serta dilengkapi AI.
Badan penguat kuasa itu turut memiliki sejumlah mesin pengimbas sedia ada yang ditempatkan di lapangan terbang serta pintu keluar dan masuk negara melibatkan kawasan strategik.
JKDM menggunakan mesin pengimbas untuk tujuan khusus berkaitan penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan perdagangan keluar masuk Malaysia.
Mesin pengimbas yang digunakan terdiri daripada empat jenis iaitu mesin pengimbas badan (body scanner), bagasi, kargo udara (air parcel) dan kontena, yang menjadi elemen penting bagi mengekang kegiatan aktiviti penyeludupan sekali gus dapat meningkatkan kutipan hasil negara.
"Ketika ini, jumlah mesin pengimbas ini mencukupi untuk pegawai dan anggota JKDM menjalankan pemeriksaan ke atas bagasi dan kargo udara (air parcel),” katanya.
Untuk rekod, mesin pengimbas digunakan agensi penguat kuasa itu dengan tujuan khusus yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan perdagangan yang keluar masuk ke Malaysia.
Ia adalah salah satu inisiatif JKDM dalam meningkatkan tahap imbasan barangan dagangan yang dibawa oleh penumpang bagi menangani isu penyeludupan barang terlarang termasuk narkotik.
Sebagai jabatan strategik dalam kerajaan yang kerap berdepan dengan pelbagai situasi dan risiko tadbir urus, langkah itu memperkasakan lagi tahap keselamatan kawalan pintu masuk sempadan negara khususnya di lapangan terbang antarabangsa utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram