BEBERAPA premis perniagaan milik Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISB) di Seremban 2, Negeri Sembilan didakwa ditinggalkan dalam keadaan terbiar sejak Rabu lalu.
Memetik laporan Sinar Harian pada Ahad, tinjauan ke atas sebuah restoran milik GISB mendapati premis itu dalam keadaan tidak teratur, dengan peralatan memasak seperti kuali dan periuk serta bekas makanan dibiarkan tidak dicuci di dalam sinki.
Seorang peniaga memberitahu, tidak ada seorang pun kelibat pekerja mereka kelihatan sejak Rabu lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Bapa budak lelaki kena rotan di rumah amal GISB buat laporan polis
BACA LAGI: [VIDEO] Seramai 13 budak GISB pernah diliwat — KPN
Sementara seorang lagi peniaga memaklumkan terdapat individu yang kelihatan seperti pihak berkuasa datang dan memeriksa premis tersebut.
"Tidak pasti sama ada mereka yang bekerja di situ ditahan atau melarikan diri," katanya.
Difahamkan GISB menjalankan aktiviti perniagaan kedai runcit, gerai cendol, kafe, kedai roti bakeri.
Pada 11 September lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak, terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan, berumur antara satu hingga 17 tahun, dari 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi menyelamat Op Global.
Media melaporkan, penghuni pusat jagaan itu didakwa didera, dieksploitasi dan diserang secara seksual.
Seramai 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan termasuk seorang guru dan penjaga asrama. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram