Syurga pencinta muzik vintaj, Vintage Kissa Cafe hidang 'menu' untuk tekak dan halwa telinga


  • Bizz
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Pelanggan di Vintage Kissa Cafe akan dihidangkan dengan bunyian muzik daripda sistem audio vintaj. — Vintage Kissa Cafe

BAYANGKAN menghirup kopi sambil duduk bersantai di kerusi rotan dan ditemani alunan muzik retro. Pastinya ambien vintaj pantas menggamit kenangan.

Ibarat lari sejenak dari kesibukan kota apabila Vintage Kissa Cafe membawa pelanggan kembali ke era 50-an yang mendamaikan jiwa dek segenap ruang dihiasi item dekorasi klasik. Keunikannya berbeza dengan barisan kafe urban sedia ada.

Malah lebih menarik, pelanggan turut dihidangkan dengan sistem audio vintaj dengan muzik yang dimainkan secara analog menerusi koleksi piring hitam, kaset atau cakera padat (CD).

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Suasana yang disediakan di kafe ini pastinya menjadi idaman yang cukup dinikmati oleh setiap penggemar muzik.

Menghimpunkan pelbagai koleksi audio vintaj, kafe yang berkonsep muzik ini terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Pemilik kafe, Ck Yap menjelaskan sebagai pengikut dan pengumpul audio vintaj, beliau sememangnya ingin mewujudkan satu ruang khusus untuk penggemar muzik vintaj sepertinya.

314047058_192190386643747_5221071517451523851_n

Ruangan dalaman Vintage Kissa Cafe yang dipenuhi dengan sistem audio analog dan juga koleksi muzik dalam format piring hitam, kaset dan CD. — Vintage Kissa Cafe

“Di sini, saya mainkan muzik analog terutamanya Jazz menggunakan kelengkapan sistem audio vintaj era 50-an hingga 70-an. Sumber audio digunakan adalah OpenReel, Vinyl, kaset dan cd.

“Kafe ini juga ideal dijadikan port menghimpunkan komuniti penggemar muzik vintaj untuk saling bertukar pengalaman.

“Selain menumpukan koleksi muzik dan sistem audio vintaj berkualiti, sentuhan dekorasi di seluruh kafe turut mengutamakan sentuhan era dahulu untuk menyerlahkan lagi mood,” katanya.

315979940_193420209854098_6722489994563766583_n

Antara menu hidangan yang disediakan di Vintage Kissa Cafe. — Vintage Kissa Cafe

Di samping bersantai melayan muzik, kafe yang mengambil masa hampir setahun untuk peringkat hiasan dengan koleksi vintaj menyediakan hidangan ringkas.

“Menu signatur kami ialah croffles berasaskan adunan tepung premium Jepun sehingga menjadikannya lembut dalam setiap gigitan.

“Antaranya classic croffles, caramel, chocolate dan biscoff lotus memberikan cita rasa berbeza. Wafel juga tidak kurang hebat rasanya termasuk sajian nasi goreng dan spageti.

“Suasana santai tidak lengkap tanpa gandingan pilihan kopi yang diadunkan menggunakan mesin kopi menyerlahkan aura konsep pilihan. Selain itu, pelanggan juga boleh memesan secawan teh,” tuturnya.

Vintage Kissa Cafe beroperasi pada Selasa hingga Ahad bermula pukul 12 tengah hari hingga 9 malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram