Bimbang trafik sesak, kena pusing jauh, penduduk Setapak rayu pihak berkuasa pertimbang penutupan Jalan Semarak Api 4


  • Massa
  • Rabu, 11 Sep 2024

Penduduk Flat Taman Setapak Indah Jaya berkata, jalan susur di sepanjang Jalan Semarak Api 4, adalah jalan masuk utama mereka. — The Star

PENDUDUK rumah pangsa Taman Setapak Indah Jaya dan komuniti sekitar membantah kemungkinan penutupan jalan susur di sepanjang Jalan Semarak Api 4 yang dikatakan akan menyusahkan penduduk sekitar.

Jalan susur tersebut yang menyambungkan Jalan 3/50 C dan Jalan 2/50 di Setapak, Kuala Lumpur ialah jalan utama buat penduduk di kawasan situ.

Penduduk risau tentang kemungkinan berlakunya penutupan jalan tersebut selepas melihat kewujudan kon lalu lintas serta pita merah dan putih yang diletakkan di kedua-dua belah jalan susur tersebut beberapa minggu lalu.

BACA LAGI: Nur Hanie tawar khidmat menu berpantang, mudahkan urusan ibu-ibu di Bumi Kenyalang

BACA LAGI: Umrah Srikandi sedia perkhidmatan khusus buat wanita tunai ibadah di tanah suci

"Jalan ini dibina lebih 20 tahun lalu dan menjadi laluan utama untuk penduduk rumah pangsa untuk pergi ke Jalan Genting Klang," kata Chen Yew Wai, yang memiliki kedai kopi di flat tersebut.

"Tanpa jalan ini, kami terpaksa mengambil laluan yang lebih panjang untuk ke jalan utama.

"Baru-baru ini, kami dapat tahu bahawa pemilik tanah jalan susur itu bercadang untuk menutup jalan tersebut.

"Kami berharap mereka akan mengadakan sesi perbincangan bersama kami sebelum penutupan tersebut," kata Chen sambil menambah bahawa pemilik tanah tersebut juga merupakan pemaju swasta.

Flat Taman Setapak Indah Jaya residents say the slip road along Jalan Semarak Api 4, which now sports red traffic cones and tape, is their main access road. (Right) Lai (second from right) discussing the issue with stakeholders. — Photos: AZMAN GHANI/The Star

Lai (dua dari kiri) berbincang mengenai isu tersebut bersama pihak yang terlibat

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK (C) Mun Yee, Steven Soh berkata, ada ibu bapa yang menggunakan jalan susur tersebut untuk menghantar anak mereka ke sekolah melalui pintu pagar belakangnya.

"Kami ada 1,600 murid dengan dianggarkan kira-kira 300 hingga 500 daripada mereka menggunakan pintu masuk belakang sekolah," katanya.

"Jika jalan ditutup, kesemua kenderaan akan dilencongkan ke arah pintu utama dan akan meningkatkan kesesakan trafik di kawasan itu.

"Ibu bapa menggunakan jalan susur tersebut lebih 20 tahun dan tindakan menutup jalan tersebut akan menimbulkan lebih banyak masalah," kata Soh.

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai berkata, jalan susur yang terletak di atas tanah itu dijual kepada pemaju swasta.

Dia berkata, tanah itu merangkumi sebidang tanah besar meliputi rumah pangsa, Kondominium Genting Court dan beberapa infrastruktur sekitarnya.

"Ia juga termasuk lot parkir kereta bersebelahan dengan rumah pangsa tersebut, dengan Jalan Semarak Api 4 sebagai jalan masuk.

"Jalan Semarak Api 4 wujud sebelum rumah pangsa itu dibina," kata Lai.

"Lot parkir kereta dan Jalan Semarak Api 4 pada asalnya ditetapkan untuk kemudahan awam pada 1990-an oleh pemaju ketika itu yang kemudiannya muflis." tambahnya lagi.

Tanah tersebut kemudiannya dibahagikan kepada beberapa plot.

"Jalan Semarak Api 4 dan lot parkir kereta tersebut dianggap sebagai satu plot dan dijual kepada pemaju baharu," jelasnya.

Lai berkata, pemaju baharu tersebut sebagai pemilik tanah ada hak untuk tutup jalan susur tersebut dan sebahagian Jalan Semarak Api 4 yang dimiliki oleh mereka.

"Bagaimanapun, jika jalan ini diklasifikasikan sebagai jalan awam, maka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pejabat tanah mesti memainkan peranan untuk memastikan jalan ini, atau alternatif disimpan untuk kemudahan awam.

"Saya akan bercakap dengan pihak yang terlibat untuk mendapatkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada kedua-dua penduduk flat dan pemilik tanah," katanya. — TheStar/JARODLIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram