Pahang negeri paling terjejas dilanda inflasi bagi sektor perkhidmatan restoran dan hotel


  • Bizz
  • Khamis, 25 Jul 2024

Kenaikan ini adalah disebabkan oleh perbelanjaan di restoran dan kafe yang naik sebanyak 7.7 peratus tahun lalu, manakala perkhidmatan penginapan pula mencatatkan kenaikan sebanyak 3.2 peratus.

RATA-RATA rakyat Malaysia ketika ini terkesan dengan peningkatan kenaikan harga barang, namun bagi penduduk di Pahang, tekanan kewangan lebih dirasai jika ia membabitkan makan di luar dan penginapan hotel.

Berdasarkan angka inflasi Jabatan Perangkaan, negeri Pahang mengalami kenaikan harga paling ketara dalam kadar inflasi tahunan bagi sektor perkhidmatan restoran dan hotel pada 2023 iaitu sebanyak 7.1 peratus.

Kenaikan itu adalah disebabkan oleh perbelanjaan di restoran dan kafe yang meningkat sebanyak 7.7 peratus tahun lalu, manakala perkhidmatan penginapan pula mencatatkan kenaikan sebanyak 3.2 peratus.

BACA LAGI: Di sebalik pelaksanaan subsidi diesel bersasar, kadar inflasi Malaysia kekal positif 2 peratus pada Jun

BACA LAGI: Subsidi diesel: Inflasi dijangka lebih 2 peratus, kenaikan harga tidak jejas belanja asas rakyat — Pakar

Pakar ekonomi berkata, peningkatan harga menunjukkan kenaikan di Pahang adalah disebabkan oleh lonjakan permintaan di negeri berkenaan kerana sektor pelancongan domestik semakin meningkat selepas pelonggaran sekatan Covid-19.

Kadar inflasi di negeri Pahang bagi perkhidmatan restoran dan hotel pada 2023 adalah lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur iaitu sebanyak 6.9 peratus serta Selangor dan Putrajaya masing-masing iaitu 6.2 peratus.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Pahang adalah negeri paling banyak dilawati pada 2022 dengan jumlah pelancong domestik sebanyak 7.8 juta orang.

Pada tahun 2023 pula, Pahang menjadi destinasi pelancongan domestik kedua terbesar selepas Johor, berjaya meraih sebanyak 8.5 juta pelancong.

cameron

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia, Pahang adalah negeri paling banyak dilawati pada 2022 dengan jumlah pelancong domestik sebanyak 7.8 juta orang.

Antara tarikan utama di Pahang adalah Genting Highlands, Cameron Highlands, Pantai Teluk Chempedak, Strawberry Farm di Brinchang, Tanah Rata, Kuantan City Mall dan East Coast Mall.

Profesor Ekonomi Sunway University, Yeah Kim Leng berkata, kenaikan inflasi adalah tinggi di Pahang bagi restoran dan hotel mungkin disebabkan oleh lonjakan permintaan kerana kenaikan kos yang hampir sama di seluruh negeri.

Prof Yeah berkata, jika lonjakan inflasi ini berlaku sekali sahaja, ia kurang membimbangkan kerana faktor sementara di negeri tersebut.

"Namun, jika kadar kenaikan harga tinggi berterusan, ia mungkin disebabkan oleh faktor-faktor struktural atau lebih kekal dari segi penawaran atau permintaan yang perlu diteliti lanjut," katanya.

Restoran dan hotel mengalami kenaikan inflasi tertinggi di negara ini pada tahun lalu dalam kategori barang dan perkhidmatan yang dipantau oleh Jabatan Perangkaan.

telukcempedak

Pantai Teluk Chempedak juga destinasi tumpuan yang sering dikunjungi pengunjung.

Prof Yeah berkata, variasi inflasi peringkat negeri untuk pelbagai kategori indeks harga pengguna adalah disebabkan oleh perbezaan dalam keadaan penawaran dan permintaan, struktur pasaran, dan tingkah laku penentuan harga firma-firma dan perniagaan.

"Jika terdapat banyak firma atau perniagaan yang bersaing secara rancak di negeri tersebut, harga cenderung kurang tertakluk kepada kenaikan harga.

“Begitu juga, jika jangkaan inflasi rendah, firma dan perniagaan kurang cenderung menaikkan harga kerana bimbang kehilangan pelanggan,” katanya.

Located 6,000 feet above sea level, Resorts World Genting is Malaysia’s premier integrated resort destination.

Genting Highlands antara kawasan tarikan pelancong.

Dalam pada itu, Profesor HELP University, Dr Chung Tin Fah berkata, tidak semua restoran dan hotel di Pahang menaikkan harga mereka sebanyak 7.1 peratus pada tahun 2023.

Beliau berkata, mereka yang paling terjejas mungkin adalah yang berada di kawasan pelancongan seperti Genting Highlands atau Cherating.

Tambahnya, semua premis mengambil peluang untuk menaikkan harga, terutamanya yang paling kerap dikunjungi oleh pelancong atau premis yang mempunyai permintaan tinggi ketika Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.

Untuk kategori makanan dan minuman, Putrajaya, Selangor dan Sarawak mencatatkan kadar inflasi tertinggi masing-masing sebanyak 6.1 peratus pada 2023.

Putrajaya dan Selangor juga mencatatkan pertumbuhan inflasi terbesar tahun lalu bagi sektor pengangkutan iaitu masing-masing sebanyak 1.9 peratus. — The Star/ DIYANA PFORDTEN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram