PENCINTA durian sudah tidak perlu terlalu bergantung kepada Musang King atau Black Thorn untuk mencapai kepuasan mengidam mereka apabila durian variasi MDUR 888 (D190) setanding durian lain di pasaran.
Variati durian baharu yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) itu kini difahamkan menjadi buruan penggemar 'Raja Buah' itu dengan rata-ratanya memberi maklum balas bahawa keenakkannya jauh lebih sedap dari Musang King dan Black Thorn.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, harga MDUR 88 juga jauh lebih berpatutan jika dibandingkan durian lain dan disebabkan itu kementerian berkenaan dalam usaha untuk mempromosikan tanaman tersebut.
BACA LAGI: Musang King segar Malaysia dijangka tiba di China September ini
BACA LAGI: [VIDEO] Kemarau dipercayai punca air kolam bertukar warna 'pink' di Hawaii
"Antara satu pencapaian yang membanggakan kerana kita berjaya hasilkan variasi durian iaitu MDUR 88 atau durian 88. Durian paling sedap yang saya pernah cuba dalam hidup saya, setanding Musang King. Harga pun berpatutan banding harga pasaran Musang King.
"Kita akan usahakan mempromosikan dan memperkenalkan kepada pasaran dalam negara. Mungkin akan berbincang untuk mengembangkan tanaman ini. Setakat diperkenalkan, maklum balas sangat baik. Itu beri keyakinan bahawa variasi durian ada potensi besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Duriotourism Mardi di Kuala Kangsar, Perak dengan ia turut dihadiri Pengerusi Mardi, Dr Azman Ismail, dan Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Untuk rekod, harga MDUR 88 sekilogram (1/kg) adalah RM25, manakala durian jenis Black Thorn pula antara RM80 sehingga RM100 1/kg. Musang King pula berharga RM50 ke RM80 1/kg.
MDUR 88 semakin diminati oleh penggemar durian.
Tambah Arthur, pihak KPKM kini dalam usaha untuk memperluaskan tanaman variasi durian itu susulan pengeluaran durian MDUR 88 yang diperkenalkan pada 1991 masih belum mencukupi untuk menampung permintaan dalam negara.
Salah satu inisiatif yang dilakukan oleh kementerian berkenaan, adalah dengan membuka Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar kepada orang ramai dan kini mereka sudah menerima pengunjung dari dalam dan luar negara.
"MDUR 88 agak baru di pasaran jadi fokus kita adalah mempromosi dan pastikan tanamannya dapat dikembangkan. Kita buka kebun konsep agropelancongan untuk orang ramai. Mereka boleh cuba dengan sendiri rasa durian di sini.
"Salah satu usaha kita lakukan adalah melalui Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar ini yang mana apabila dibuka kepada orang ramai, pengunjung dari dalam dan luar negara seperti China, Thailand dan Kazakhstan melawat dan dapat mencuba pelbagai variasi durian termasuk MDUR 88," katanya.
Dalam pada itu, Azman selaku Pengerusi Mardi menyifatkan MDUR 88 sebagai sumber kekayaan baharu Malaysia dan permata institusi tersebut susulan beliau yakin bahawa buah berkenaan akan semakin popular pada masa hadapan.
Oleh sebab itu, Mardi kini juga dalam usaha untuk memberi cadangan agar tanaman MDUR 88 akan diluaskan sehingga ke Sabah dan Sarawak kerana keluasan tanah di dua negeri itu mampu membantu menampung permintaan.
"Di Sabah dan Sarawak ada tanah yang banyak dan luas. Memang sesuai untuk tanam durian. Kita nak syorkan kerajaan negeri bawah benih ke sana. Ini akan beri keuntungan juga kepada Sabah dan Sarawak," kongsinya.
Sebelum ini media melaporkan, MDUR 88 paling popular berbanding durian hibrid MDUR 78 dan MDUR 79 kerana warna isinya yang keemasan dan rasanya yang manis berlemak, setanding Musang King. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram