SEORANG usahawan mengaku tidak bersalah diatas tuduhan mengugut wanita berusia 25 tahun yang merupakan bekas ahli Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Rabu.
Tertuduh, Mohamad Riza Makar mengaku tidak bersalah di depan Majistret Ahmad Afiq Hasan diselepas didakwa mengugut wanita berusia 25 tahun kerana tidak mahu menarik balik laporan polis dibuatnya.
Dalam ugutan tersebut, tertuduh dikatakan berkata, "Kami tahu dekat mana rumah, suami dan keluarga," kepada wanita tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Bapa budak lelaki kena rotan di rumah amal GISB buat laporan polis
BACA LAGI: [VIDEO] Kes GISB: Agong titah PDRM jalankan siasatan dan ambil tindakan segera
Tertuduh dikatakan melakukan kesalahan tersebut semasa bertemu mangsa di sebuah parkir kereta dekat Galeria, Presint 4, Putrajaya sekitar 10 malam pada 9 September.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman meminta ikat jamin ditetapkan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah, dan Riza perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.
Namun begitu, peguam yang mewakili Riza, Zulfikri Ulul Azmin mengatakan jumlah ikat jamin itu terlalu tinggi dengan pendapatan bulanan tertuduh adalah sebanyak RM4,000 sahaja.
Peguam itu juga mengatakan anak guamnya mempunyai tiga isteri dan 10 anak dan meminta agar kadar ikat jamin itu dikurangkan. Selain itu, tertuduh baru saja menimang cahaya mata baharu dan perlu menyediakan wang untuk persekolahan anak-anak.
Malah, Zulfikri turut mengatakan ancaman tersebut tidaklah berbaur jenayah dan ia dilakukan tanpa ada kaitan dengan isu GISB yang sedang hangat sekarang.
Namun begitu, hujah itu dipatahkan oleh Sabri dengan mengatakan ugutan tersebut memberi kesan kepada tahap mental mangsa serta perbuatan tersebut jelas sekali mempunyai kaitan dengan GISBH kerana tertuduh mengaku dia adalah ahli kepada gerakan tersebut.
Majistret Ahmad Afiq kemudiannya menetapkan nilai ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan satu penjamin dan tertuduh masih perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali. — The Star/JUNAID IBRAHIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram