Tohmahan pihak Siti Bainun kes abai, aniaya Bella berat sebelah, tak berasas


Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menyifatkan tohmahan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali terhadap Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, sebagai tidak berasas.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata, pihak pendakwaan telah mengemukakan saksi-saksi mata yang melihat kejadian serta saksi-saksi perubatan dan pakar yang menyokong kejadian pengabaian serta penganiayaan terhadap saksi pendakwaan ke-18 (Bella).

BACA LAGI: Pegawai TLDM nafi duduk atas perut, berkali-kali tampar Soosaimanicckam

BACA LAGI: Duta Malaysia ada tanggungjawab penting lindungi kepentingan negara — PM Anwar

"Di peringkat ini, mahkamah ini mendapati terdapat tohmahan-tohmahan yang tidak berasas dibuat oleh pihak perayu (Siti Bainun) yang telah ditujukan kepada Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) dalam hujahan bertulis pihak perayu.

"Pihak pendakwaan telah menarik perhatian mahkamah ini mengenai hujahan pembelaan yang mengatakan HMS telah menokok tambah fakta, menyembunyikan keterangan dengan meringkaskan nota prosiding, berat sebelah dengan cara memilih yang dikehendaki sahaja (pick and choose) keterangan dikemukakan oleh saksi-saksi, sedangkan pihak perayu tidak pernah membuat permohonan untuk membandingkan nota prosiding," katanya.

Noorin berkata demikian dalam alasan penghakiman bertarikh 6 September lepas yang diperoleh pihak media pada Isnin.

Beliau berkata, mahkamah memandang serius dakwaan-dakwaan tidak berasas tanpa bukti terhadap seorang hakim dan selepas meneliti nota keterangan serta prosiding di Mahkamah Sesyen, pihaknya mendapati HMS telah membuat dapatan dan penemuannya berlandaskan fakta dan keterangan yang terus dan sokongan.

"Tidak ada keadaan dan asas yang telah ditunjukkan oleh pihak perayu yang mewajarkan dakwaan-dakwaan terhadap HMS yang telah membuat keputusan menurut undang-undang di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," kata Noorin.

Hakim itu berkata, Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa HMS tidak terkhilaf apabila mendapati elemen ketiga pertuduhan (bahawa mangsa telah mengalami kecederaan fizikal dan emosi semasa berada dalam pemeliharaan perayu) telah dipenuhi oleh pihak pendakwaan.

Beliau berkata, selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan kelima (Yasmin Nahar Mahmood) dan saksi pendakwaan kelapan (Suhana Zam) yang dipertikaikan pihak pembelaan, pihaknya mendapati adalah sukar untuk membuat dapatan bahawa kedua-dua saksi ini mereka-reka cerita terhadap perayu.

Menurut Noorin lagi, keterangan kedua-dua saksi berkenaan (Yasmin dan Suhana) disokong oleh keterangan perubatan yang merupakan keterangan bebas yang secara konsisten mendapati kecederaan dialami mangsa bukan satu kemalangan.

"Perayu telah melakukan pengabaian dan penganiayaan ke atas SP18 (Bella) sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi kepada SP18.

"Mahkamah ini mendapati bahawa tidak terdapat keterangan atau keadaan yang membolehkan apa-apa dapatan dibuat bagi menunjukkan SP5 dan SP8 mempunyai motif untuk mengenakan atau menganiaya perayu melainkan mereka sendiri telah menyaksikan kecederaan yang dialami oleh SP18 yang menurut SP5 adalah dilakukan atas arahan perayu," kata hakim itu.

Pada 2 Mei lepas, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2023.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara serta-merta, selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman. Siti Bainun kemudian dihantar ke Penjara Kajang.

Mahkamah turut memerintahkannya menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 serta melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram