SEMPENA pembukaan Zoo Johor, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menyumbangkan sebanyak 30 tong sampah beroda pada hari pembukaan semula yang berlangsung pada Hari Kebangsaan.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, setiap tong sampah turut dihiasi dengan gambar kesedaran kebersihan untuk mengingatkan orang awam tentang kepentingan menjaga kebersihan zoo tersebut.
"Kami sangat teruja dengan pembukaan Zoo Johor, dan kami berbesar hati kerana berpeluang untuk berkolaborasi dengan kerajaan negeri.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal penjual makanan goreng, gadis sunti Sumatera ditemukan ditanam tanpa seurat benang
BACA LAGI: [VIDEO] Pelancong ketakutan, 24 terbunuh Taufan Yagi ‘hentam’ utara Vietnam
"Kolaborasi ini dijalankan melalui pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (bahagian kerajaan tempatan) dalam menyediakan tong sampah beroda untuk kegunaan pengunjung Zoo Johor," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Norlisam menambah, menerusi SWM Environment di bawah inisiatif komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (Cepa) juga mempromosikan mesej dan kandungan pendidikan berkaitan kempen 'buang sampah ke dalam tong' pada setiap tong beroda yang diletakkan di seluruh premis terbabit.
"Kami berharap masyarakat, terutamanya bakal pengunjung ke Zoo Johor akan menggunakan sebaiknya tong sampah beroda ini dengan tidak membuang sampah merata-rata di kawasan zoo untuk memastikan pengalaman yang selesa buat semua pengunjung," katanya.

Hampir 20,000 pengunjung mengunjungi Zoo Johor pada hari pembukaannya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor, hampir 20,000 pengunjung mengunjungi Zoo Johor pada hari pembukaannya.
Tambahnya, bayaran masuk hanya untuk orang dewasa manakala kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya boleh masuk secara percuma.
"Pada kebiasaan tiket masuk untuk dewasa ialah RM 10, tetapi kerajaan memutuskan untuk menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus (%) selaras dengan sambutan Hari Kebangsaan sehingga 30 September.
"Kami juga merancang untuk menempatkan lebih ramai kakitangan untuk mengawal jalan raya dan membantu menguruskan aliran trafik di sekitar zoo," katanya yang menambah operasi zoo tersebut adalah dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang setiap hari.
Zoo Johor pertama kali dibuka pada 1928, menjadikan ia zoo tertua di Malaysia.
Pada masa ini, terdapat 275 haiwan daripada 53 spesies di kemudahan itu. — TheStar/REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
