Hampir 40 rumah jagaan disyaki milik GISBH dalam radar polis — KPN


  • 112
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Razarudin mengesahkan siasatan terhadap GISBH sudah dilakukan sejak 2011.

SEBANYAK 39 rumah jagaan yang berkaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) kini dalam siasatan pihak polis atas tuduhan pengeksploitasi dan penderaan kanak-kanak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua rumah jagaan terbabit terdapat di serata negara.

Sebelum ini, pihak polis sudah menyerbu 20 rumah jagaan dalam misi yang dikenali sebagai Ops Global selepas melakukan enam bulan siasatan.

BACA LAGI: Soal siasat mangsa diselamatkan dari rumah amal GISB dijangka ambil masa 2 minggu — Ketua Polis Negara

BACA LAGI: [VIDEO] GISB nafi dera, eksploitasi kanak-kanak di Selangor dan Negeri Sembilan

"Rumah-rumah jagaan itu berada dalam radar, kami tidak menolak kemungkinan tindakan seterusnya akan diambil rentetan daripada serbuan dilakukan pada Rabu.

"Kami sudah menyiasat syarikat tersebut sejak 2011, sebelum tuduhan terhadap mereka dilakukan di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) enam bulan lalu," ujar Razarudin.

Menurut Razarudin lagi, laporan polis daripada bekas ahli GISBH membantu mereka untuk melakukan siasatan dan serbuan.

Laporan daripada seorang wanita dari Negeri Sembilan itu memberikan petunjuk kukuh kepada polis.

"Pada mulanya, wanita itu menarik balik laporan tersebut, namun dia melakukan laporan baharu dan kami siasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

"Ia membantu kami untuk melancarkan Ops Global hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, dan Jabatan Cawangan Khas.

"Pegawai daripada kedua-dua jabatan amat penting dalam mendapatkan maklumat. Saya diberikan taklimat dua hari sebelum serbuan dilakukan di Selangor dan Negeri Sembilan.

"Kami melakukan tangkapan selepas menerima petunjuk yang kukuh yang membolehkan kami melakukan tindakan," kata Razarudin.

Razarudin juga meminta agar bekas ahli GISBH untuk tampil ke depan bagi membantu siasatan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram