47 mangsa bergejala angkara pencemaran bau di Johor Bahru


  • Podium
  • Rabu, 11 Sep 2024

JAS Negeri Johor mula melakukan pembersihan di beberapa kawasan terjejas dengan pembuangan sisa kimia. — The Star

SERAMAI 47 mangsa pencemaran bau di sekitar Johor Bahru, Johor dikesan mengalami gejala sepanjang tempoh dua hati iaitu sehingga Selasa, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, seramai 10 individu daripada 47 yang bergejala itu menerima rawatan di klinik awam dan swasta.

Manakala, tiga individu daripada jumlah berkenaan pula dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan susulan.

BACA LAGI: Isu wang haram lagi penting dari sijil halal Jakim — Rafidah Aziz

BACA LAGI: [VIDEO] Terhidu gas sisa kimia antara 4 kes ancam nyawa pelajar sekolah di Malaysia

Menurutnya, mengikut rekod, sebelum tempoh itu seorang mangsa pencemaran dimasukkan ke hospital dan masih mendapatkan rawatan.

“Dua individu termasuk seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melati dan seorang wanita mengandung sudah dibenarkan pulang.

“Manakala secara keseluruhannya dua individu masih berada di wad di HSA untuk pemerhatian,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh jabatan itu pada Rabu.

Terdahulu, pencemaran bau dilaporkan berlaku di beberapa lokasi sekitar Johor sejak 3 September lalu, termasuk Kampung Melayu Pandan, Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Mount Austin dan Kawasan Perindustrian Desa Tropika.

Kawasan lain yang terjejas ialah Kampung Maju Jaya, Kampung Tawakal, Kampung Plentong Baru dan Kampung Orang Asli Pasir Intan.

Pada Selasa, seorang pemandu lori dan pembantunya berusia 23 dan 28 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pencemaran bau yang turut menyebabkan penutupan tiga sekolah dan 27 pelajar jatuh sakit.

isi dalam dalam

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon. — Facebook/JohorPost

Kedua-dua suspek kini direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, yang menangani kesalahan berkaitan kemerosotan bekalan air atau makanan kepada rakyat.

SK Kampung Maju dan sekolah swasta Sekolah Rendah Islam Hidayah serta Sekolah Menengah Islam Hidayah ditutup buat sementara waktu dan proses pembelajaran dilakukan secara pengajaran dan pembelajaran berasaskan rumah (PdPR).

Di Kota Tinggi, Johor, seramai 38 penduduk Kampung Orang Asli Pasir Intan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas asap toksik menyebabkan mereka mengalami sakit tekak, loya, pening, sakit mata, muntah dan sesak nafas.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut melawat kawasan tercemar itu pada Isnin di mana beliau mengarahkan polis dan agensi berkaitan membentuk pasukan petugas dan mencari pihak yang bertanggungjawab mencemarkan sungai tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram