Isu wang haram lagi penting dari sijil halal Jakim — Rafidah Aziz


  • Primer
  • Rabu, 11 Sep 2024

Rafidah menasihati agar kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada menangani isu wang yang diperoleh melalui rasuah.

BUKANNYA terlibat dalam perbahasan mengenai sijil halal, sebaliknya rakyat Malaysia harus menumpukan perhatian mereka untuk menangani isu 'wang tidak halal' yang diperoleh melalui rasuah.

Demikian kenyataan dikeluarkan oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang tampil memberi pandangan peribadinya mengenai isu sijil halal.

Menurut kenyataan dalam catatan Facebook pada Rabu, daripada orang ramai terlalu berbahas berhubung sijil halal di setiap premis, adalah lebih prihatin terhadap kekayaan yang dirompak oleh golongan tidak berintegriti.

BACA LAGI: Johnny's Restaurant, Dolly Dim Sum antara 5 restoran popular bukan pemegang sijil halal — Jakim

BACA LAGI: Jabatan Perikanan sahkan gegelang sotong tiada DNA babi

Bukan hanya orang awam, beliau juga menasihati agar kerajaan juga sepatutnya memberi tumpuan kepada menangani isu wang yang diperoleh melalui rasuah dan salah guna kuasa oleh pihak berkuasa.

“Dan (jangan) menyusahkan orang lain, semata-mata untuk memastikan mee kari atau nasi goreng dan lain-lain mesti disahkan halal.

"Umat Islam mesti ingat bahawa jika anda ragu-ragu, jangan paksa diri anda untuk makan di kedai-kedai itu. Ada pilihan," katanya.

Selasa lalu, pihak polis merekodkan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selepas menyatakan kebimbangan dan bantahannya terhadap cadangan Perbadanan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mewajibkan pensijilan halal bagi kedai makan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.

Teresa baru-baru ini menyuarakan bantahannya terhadap cadangan tersebut dan menyifatkan ia bakal membebankan perniagaan kecil dan menyekat kebebasan pengguna di Malaysia.

Susulan kenyataan Teresa itu, sebanyak lima laporan polis telah dibuat terhadapnya dengan pihak berkuasa juga sudah memulakan siasatan.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, beberapa undang-undang perlu dipinda untuk menguatkuasakan pensijilan halal mandatori.

Buat masa ini, pensijilan halal adalah pilihan bagi pengusaha perniagaan makanan.

Rafidah menyatakan bahawa umat Islam yang teguh berpegang teguh kepada pegangan dan peraturan Islam tidak memerlukan kerajaan atau entitinya untuk membantu mereka memutuskan apa yang boleh atau tidak boleh dimakan.

teresaaa

Teresa Kok beranggapan restoran dan premis makanan akan terbeban bagi mendapatkan sijil halal.

Beliau berkata, langkah sedemikian perlu dielakkan bagi mengelakkan campur tangan kerajaan dalam kehidupan seharian atas alasan agama.

“Tiada sebab untuk entiti kerajaan memaksa setiap kedai makanan mempunyai pensijilan halal (hanya) untuk ‘menjaga’ umat Islam.

"Mereka sentiasa boleh mengelak pergi ke mana-mana tempat terutamanya untuk makan jika mereka berasa was-was (khuatir) atau ragu-ragu tentang apa yang dijual di sesebuah kedah," katanya.

Beliau menambah bahawa terdapat banyak tempat untuk dipilih oleh orang Islam dan bukannya membebani pihak lain semata-mata untuk melindungi orang Islam daripada makanan yang tidak diyakini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram