[VIDEO] Rumah, bangunan tertimbus dalam lumpur, banjir kilat di Maluku ragut 13 nyawa


  • Benua
  • Isnin, 26 Ogos 2024

13 maut dalam banjir kilat yang berlaku di timur pulau Ternate, Indonesia berikutan hujan lebat.

SEKURANG-KURANGNYA 13 orang terkorban, dua cedera dan beberapa lagi dilaporkan hilang selepas banjir kilat dan tanah runtuh merosakkan rumah serta infrastruktur di Pulau Ternate, Maluku Utara, Indonesia pada Ahad.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari berkata, beberapa rumah dan jalan raya rosak di bandar Ternate akibat bencana alam itu.

Beliau berkata, operasi memindahkan mangsa yang terjejas sedang dijalankan dengan pasukan tindak balas pantas daripada agensi itu dan pihak lain turut terlibat.

BACA LAGI: Alami menopaus tapi masih ada darah keluar, waspada anda mungkin ada simptom kanser rahim

BACA LAGI: Sudah diisytiharkan darurat, kanak-kanak berisiko tinggi terkena Mpox

TEKAN GAMBAR UNTUK VIDEO

WhatsApp Image 2024-08-26 at 11.20.17 AM

Puluhan rumah dan bangunan tertimbus dalam lumpur berikutan banjir kilat.

Menurut beliau, agensi itu juga sedang menjalankan penilaian risiko terhadap bencana berkenaan.

Ketua Pejabat Pengurusan dan Mitigasi Bencana wilayah Maluku Utara, Fehby Alting berkata, empat jentera berat telah dikerahkan untuk membantu dalam misi mencari dan menyelamat.

"Usaha mencari mangsa yang hilang masih diteruskan," kata Alting.

Beliau berkata, hujan lebat yang bermula pada Sabtu mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh di bandar Ternate.

Memetik ramalan bahawa hujan lebat mungkin berterusan dalam beberapa hari akan datang, BNPB memberi amaran kepada penduduk setempat supaya berjaga-jaga.

“Kami menggesa orang ramai untuk terus berwaspada dan mengikut arahan pihak berkuasa mengenai potensi banjir berikutnya,” kata Abdul Muhari. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram