DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif menafikan dakwaan mengatakan semua projek pembinaan di Kuala Lumpur digantung susulan beberapa kejadian tanah jerlus yang berlaku baru-baru ini.
Maimunah berkata, tiada sebarang moratorium projek pembangunan di ibu negara setakat ini.
"Apa yang saya maksudkan ialah kita telah meminta perintah pembangunan disemak semula dalam kes pembangunan yang telah diluluskan dan perintah pembangunan (DO) masih belum dikeluarkan.
"Bagi pelan yang masih belum diluluskan, kami menyemak semula untuk melihat sama ada laporan geoteknikal telah dikemukakan atau tidak,'' katanya.
BACA LAGI: Kejadian mendapan tanah di Jalan Masjid India disebabkan faktor geografi — TPM
BACA LAGI: [VIDEO] Empat bandar Amerika Syarikat laksana PKP, mahu cegah penularan virus EEE dibawa nyamuk
Maimunah Mohd Sharif.
Maimunah berkata, ia tidak bermakna semua rancangan yang diluluskan tanpa surat pengesahan pembangunan dihentikan.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa dakwaan menghentikan pembangunan di bandar itu adalah tidak benar.
"Kami hanya meletakkan koma, bukan noktah. Berita yang beredar bahawa saya menghentikan pembangunan di bandar adalah tidak betul. Saya hanya berhati-hati.
"Kami juga lebih berhati-hati selepas kejadian lubang benam di Masjid India, Kuala Lumpur," katanya.
Tambahnya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) dalam masa terdekat berhubung perkara itu.
Lokasi mendapan yang berhampiran dengan tanah jerlus di Masjid India. — Agensi
Mengulas lanjut tentang mendapan baharu dikesan yang berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu, Maimunah berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan kawasan sekitar itu berada dalam keadaan selamat.
"Kami tidak mengambil mudah perkara ini. Semua agensi telah diminta melakukan ujian integriti dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan agensi lain bagi memastikan tindakan susulan menyeluruh dilaksanakan demi mengelak kejadian sedemikian berlaku lagi.
"Keselamatan dan kesejahteraan penduduk Kuala Lumpur adalah keutamaan kami. DBKL akan terus memantau keadaan dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan awam," katanya.
Sementara itu, mendapan baharu yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi Rabu dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan ribut pada malam sebelumnya.
Susulan itu, DBKL juga menutup kawasan sekitar mendapan tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. — The Star/BAVANI M
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram