[VIDEO] ‘Pemandu lori-pemilik dashcam bergaduh, Supra yang jadi mangsa’, 2 samseng jalan raya dicekup polis KL


  • 112
  • Ahad, 11 Ogos 2024

Foto Toyota Supra milik seorang tukang masak itu jelas mengalami kerosakan teruk di bahagian bekalang. — Facebook/HenryAu

AKIBAT tidak puas hati membelenggu diri, seorang pemandu lori bertindak untuk mengejar sebuah kereta sehingga tindakannya menyebabkan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan lain di Jalan Pudu, di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Menerusi video tular di media sosial, rakaman dashcam atau kamera papan pemuka menunjukkan pemandu lori berkenaan didakwa mempunyai isu dengan pemandu kereta jenis Honda Civic, yang juga difahamkan pemilik kenderaan yang merakam kejadian itu.

Lebih parah lagi apabila pemandu lori berkenaan turut melanggar kereta jenis Toyota Supra yang terletak di tepi jalan sebelum dia melunaskan 'dendam' dengan melanggar kereta Honda Civic yang berada di belakangnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Atok, nenek dan cucu dibunuh sebelum rumah dibakar, polis Muar kesan Azman

BACA LAGI: [VIDEO] Luahan sayu isteri minta pelumba jet ski, Abdullah Abdul Mubin pulang undang sebak

Sebelum kereta Honda Civic itu dirempuh, pemandu kedua yang juga pemilik dashcam berkenaan sempat masuk ke lorong kiri sebaik sahaja menyedari lori tersebut dipandu secara berbahaya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner, Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan bahawa kemalangan itu berlaku pukul 4.57 petang pada Sabtu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori, kereta Honda Civic dan kereta Toyota Supra.

"Siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan itu berlaku apabila sebuah lori dipandu seorang lelaki hilang kawalan lalu melanggar kereta Toyota Supra diparkir di bahu jalan.

"Kemudian, lori tersebut telah mengundur lalu melanggar motokar jenis Honda Civic yang berada di belakang," katanya memetik kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Mohd Zamzuri menjelaskan bahawa, sebelum kemalangan itu, pemandu lori terbabit dikatakan tidak berpuas hati terhadap pemandu kereta Honda Civic yang keluar simpang secara mengejut dan membuat provokasi.

"Pada awal kejadian telah berlaku rasa tidak puas hati pemandu motolori ke atas pemandu kereta Honda Civic yang keluar simpang secara mengejut dan bertindak membuat provokasi sehingga pemandu motolori marah dan cuba mengejar sehingga melanggar motokar Toyota Supra yang diparkir di bahu jalan.

"Kedua-dua pemandu telah ditangkap dan dilepaskan dengan jaminan Polis. Kertas siasatan yang telah lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kes diklasifikasi dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambahnya.

Gambar kejadian yang dikongsikan menunjukkan bahawa kereta jenis Toyota Supra milik seorang tukang masak itu jelas mengalami kerosakan teruk di bahagian bekalang angkara pergaduhan dua kenderaan lain tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram