Jadikan insiden sebagai iktibar, tidak segera baiki lif bukti pengurusan gagal — Lee Lam Thye


  • Massa
  • Khamis, 22 Ogos 2024

Dua kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang sebelum ditemui terperangkap dalam lif lebih sembilan jam di sebuah pangsapuri di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

KELEWATAN menjejaki dua kanak-kanak yang terperangkap di dalam lif lebih sembilan jam di sebuah pangsapuri di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Isnin lalu dilihat sebagai bukti kegagalan pihak pengurusan memeriksa fasiliti bangunan.

Susulan itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kes tersebut jelas menunjukkan bahawa ciri-ciri keselamatan lif di kediaman tersebut adalah pada tahap sangat membimbangkan.

Lam Thye juga menegaskan, pihak pengurusan itu perlu bertanggungjawab memastikan penyelenggaraan khususnya lif kerap dilakukan.

BACA LAGI: [VIDEO] Selit selipar tengah-tengah pintu rupanya punca 2 budak terperangkap 9 jam dalam lif di Desa Petaling

BACA LAGI: [VIDEO] Ayah anak terperangkap dalam lif di Desa Petaling minta maaf

Tan Sri Lee Lam Thye's vision for Malaysia entails a collaborative approach where each stakeholder recognises their respective roles and contribute meaningfully to social progress — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Tan Sri Lee Lam Thye

Beliau pada masa sama mengingatkan kepada seluruh masyarakat agar dapat mengambil pengajaran daripada kes yang berlaku itu.

"Jadikan insiden ini sebagai iktibar kepada pihak yang menjaga penyelenggaraan lif tidak kira daripada pihak pemaju hinggalah pihak pengurusan.

"Lif sepatutnya diperiksa dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kerosakan serius atau kejadian tidak diingini seperti ini daripada terus berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bukan itu sahaja, beliau turut mempersoalkan pihak bertanggungjawab itu kerana masih tidak dapat memantau dua kanak-kanak terbabit meskipun terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di dalam lif.

"Amat pelik walaupun terdapat CCTV di dalam lif itu, mangsa gagal dikesan ketika ibu bapa mencari mereka.

"Bayangkan, hampir 11 jam tidak dapat dipantau sedangkan malapetaka ini boleh dielakkan sekiranya CCTV yang diletakkan dipantau dengan baik," katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar pihak pengurusan boleh menambah baik ciri keselamatan dengan mewujudkan penggera apabila berlakunya kerosakan supaya setiap kerosakan boleh segera diselesaikan.

Sebagai contoh, katanya, lif mengeluarkan bunyi penggera apabila ia tersangkut dan ia dapat memberikan menyedarkan orang awam lalu terus melaporkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan sewajarnya diambil.

Beliau juga berharap supaya mereka bertanggungjawab memastikan kejadian sedemikian tidak berulang lagi pada masa akan datang.

"Ini kerana insiden berkenaan sudah pasti menjadi trauma yang dahsyat kepada dua kanak-kanak berkenaan," tambahnya.

Sebelum ini, media dimaklumkan bahawa lif berkenaan dikatakan berfungsi dengan baik dan tidak berlaku sebarang kerosakan.

Namun, tindakan dua budak lelaki itu yang meletakkan selipar ditengah-tengah pintu lif beberapa kali menyebabkan sistem auto-lock diaktifkan dan lif terus terhenti.

Rentetan itu, ayah kepada salah seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam lif sebuah pangsapuri tersebut tampil membuat permohonan maaf atas kenakalan anaknya.

Dia yang menggunakan nama akaun media sosial Mohd Zaidi Zakaria turut menerima dengan hati terbuka kritikan masyarakat ekoran daripada kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram