[VIDEO] Prospec KPM dan Fazura kerjasama keluarkan 12 rekaan unik tudung sempena Merdeka


  • Bizz
  • Isnin, 22 Jul 2024

Fadhlina Sidek dan Fazura melancarkan kerjasama dalam menampilkan 12 koleksi tudung bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-67.

BERSEMPENA bulan kemerdekaan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi, aktres terkenal, Nur Fazura bekerjasama dengan kelab Program Pembangunan Usahawan Profesional (Prospec) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menampilkan koleksi Merdeka 2024.

Fazura berkata, sebanyak 12 rekaan unik meliputi pelbagai warna dicipta khas dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.

"Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini adalah 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka', jadi rekaannya ada elemen menggambarkan Malaysia seperti bangunan ikonik dan gabungan warna Jalur Gemilang," katanya.

BACA LAGI: 'It's not fair tunjuk bahagia di saat rakyat Palestin menderita', Fazura jelaskan dakwaan rumah tangga bergolak

BACA LAGI: Normah Damanhuri bersengkang mata belajar kecek Kelate demi Jogho

6120848994537163480

Fazura (kanan) bersama Fadhlina (kiri) dalam majlis pelancaran secara rasmi koleksi Merdeka 2023.

Tambahnya lagi, pemilihan tudung itu dibuat berdasarkan kriteria penting yang melambangkan bulan kemerdekaan.

"Tudung ini direka dengan inspirasi daripada warna-warna yang ada dalam Jalur Gemilang. Hasil cetusan idea untuk menghasilkan rekaan ini juga daripada kedua-dua pihak," katanya kepada Majoriti.

Fazura berkata, tujuannya memilih untuk bekerjasama dengan Prospec KPM adalah untuk meluaskan lagi pelanggan meliputi pelbagai pihak.

"Kita nak tingkatkan jangkauan untuk semua rakyat Malaysia boleh pakai tudung ini dalam kehidupan harian mereka," katanya.

Menjaga kualiti barangan, Fazura menggunakan material kapas premium Jepun yang sesuai dan selesa untuk dipakai semua orang.

"Material ini memang awning senang untuk dibentuk selain sesuai untuk dipakai semua orang," katanya.

Lebih menarik, Fazura menjelaskan bahawa semua individu meliputi pelbagai kaum boleh membeli tudung koleksi Merdeka 2024 yang dikeluarkan itu.

"Sudah tentu pengguna tudung saya kebanyakannya datang daripada orang yang berhijab.

"Tetapi, sebenarnya, yang mengejutkannya ada ramai pelancong luar negara yang datang ke kedai saya untuk mencuba dan membeli shawl atau selendang.

"Mereka buat gaya turban dan lain-lain lagi. Jadi, bukan sahaja wanita Islam yang boleh memakai, orang bukan Islam pun boleh sahaja," katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula berkata, beliau melihat Fazura sebagai figura yang sesuai untuk bekerjasama.

"Fazura ini cukup signifikan mewakili pelbagai segmen dalam masyarakat seperti ibu, isteri, kakak, adik, usahawan dan sebahagian wajah Malaysia pemilihan itu, signifikan menonjolkan sisi penting anak tempatan juga melonjakkan perniagaan tempatan selain mesej kemerdekaan pada wajah anak tempatan sepertinya," katanya.

Tambahnya lagi, Prospec KPM berperanan sebagai kelab sokongan yang akan menyebarkan mesej kemerdekaan.

“Kelab ini menyebarkan mesej bahawa pesonafikasi jiwa Merdeka kepada anak Malaysia dalam konteks membangunkan negara dan penghayatan kemerdekaan,” katanya.

Perkara itu disampaikan sewaktu sidang media majlis pelancaran secara rasmi koleksi Merdeka 2023 Prospec KPM X Fazura di The Westin, Kuala Lumpur pada Isnin.

Manakala, pembelian secara dalam talian boleh dibuat terus di laman web www.fazura.com, FAZURA Apps dan ShopeeMall FAZURA Official Store.