Ketua Jabatan 'tutup mata' salah laku staf tak boleh naik pangkat


  • Primer
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Anwar mahu hanya penjawat awam yang benar-benar layak sahaja diberikan ganjaran seperti yang dijanjikan. — Gambar hiasan/ The Star

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat berkaitan pelarasan gaji dan kenaikan pangkat kepada lebih 1.9 juta penjawat di Putrajaya pada Jumaat mencerminkan ketegasannya dalam mentadbir kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri antara lain menegaskan tiada kenaikan pangkat bagi mana-mana Ketua Jabatan yang 'tutup mata' terhadap kewujudan salah laku dan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam di bawah seliaannya.

"Tiada kompromi bagi mereka!" tegasnya ketika menyampaikan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

BACA LAGI: Gaji kumpulan pelaksana naik hingga 42 peratus, pengurusan tertinggi 7 peratus — PM Anwar

BACA LAGI: Dua pesawat TUDM terbang ke Mesir bawa 40 rakyat Palestin cedera dapatkan rawatan di Malaysia

Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa Ketua Jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahan akan dikenakan tindakan tatatertib yang seterusnya, menjejaskan peluang kenaikan pangkat buat mereka.

"Sebagaimana yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan layanan sama kepada semua terutama dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan.

"Secara prinsipnya, kita mahu hanya yang benar-benar layak sahaja diberikan ganjaran seperti yang dijanjikan," katanya.

Perdana Menteri berkata, selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan.

"Saya mahu mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas, sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan Ketua Jabatan tidak akan diberikan ganjaran.

"Selain itu, Ketua Jabatan hendaklah melaksanakan pusingan kerja (job rotation) secara berterusan bagi 35 mengelakkan berlakunya kes salah laku dalam kalangan pegawai awam," tegas Anwar lagi.

Pada masa sama, Perdana Menteri juga mahu JPA melakukan audit perjawatan yang menyeluruh, bagi mengenal pasti ketidakseimbangan perjawatan yang mungkin berlaku di seluruh kementerian dan agensi.

Beliau juga mahu tindakan penyelarasan selanjutnya untuk memastikan beban tugas yang ditanggung adalah adil kepada kompleksiti dan bidang tugas yang diberikan kepada setiap unit dan bahagian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram