Pemain bola sepak amatur acu kerambit kena jel 14 hari


Gambar yang tular di media sosial memaparkan pemain terbabit bertindak mengacukan peralatan tajam untuk mencederakan pihak lawan.

PEMAIN bola sepak yang mengacukan kerambit ketika perselisihan faham berlaku dalam perlawanan bola sepak di padang KLFA, Desa Melawati, Kuala Lumpur, dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nur Iman Shafie Mohd Sulin selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali.

BACA LAGI: VAR 'bunuh' semangat Kedah, JDT tepati ramalan lawan Selangor

BACA LAGI: Olimpik 2024: Regu lelaki sumbang pingat pertama buat Malaysia

Ketika rayuan, Peguam Muhammad Syawal Mohd Razak yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda paling ringan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain hanya bergantung dengan pendapatan perniagaan ibu bapanya yang menjual nasi lemak.

"Anak guam saya juga bertanggungjawab untuk menghantar ibunya ke Hospital Selayang setiap minggu untuk rawatan berkaitan penyakit batu hempedu," katanya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ridzuan Abd Latif meminta tertuduh untuk dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat serta bakal pesalah.

Sebelum itu, Muhammad Nur Iman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berhubung kes membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah sebuah kelab hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Ridzuan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi pertuduhan tersebut.

Peguam Haziq Haizuddin yang mewakili Muhammad Nur Iman dalam kes itu memohon untuk meminimumkan jaminan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, Norina menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian 4 Ogos lalu, pemain pasukan Farouk FT itu bertindak mengacukan kerambit ke arah pemain lain dalam perselisihan faham ketika perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre.

Dia kemudiannya ditahan bersama teman wanitanya berusia 21 tahun di Klang oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sebuah rumah di Klang kira-kira pukul 6.30 petang, Jumaat lalu.

Pada Khamis, Ketua Polis KL, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan lelaki terbabit merupakan suspek sama dalam kejadian membaling bom petrol di pusat hiburan di Kuala Lumpur berdasarkan keterangan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan soal siasat ke atas suspek. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram