PIHAK polis menahan suami kepada pempengaruh Cut Intan Nabila iaitu Armor Toreador atas dakwaan keganasan rumah tangga dan melakukan penderaan terhadap isteri.
Ketua Polis Bogor Penolong Pesuruhjaya Polis, Rio Wahyu Anggoro berkata, mereka berjaya menahan sebelum suspek melarikan diri ke sebuah hotel pada Rabu.
"Kami memantau suspek sewaktu memasuki sebuah hotel di sekitar kawasan Kemang, Cilandak, Jakarta, Indonesia.
"Jadi saya minta pihak polis untuk segera menangkap pelaku yang sewaktu itu bersama empat rakannya yang lain," kata Rio.
BACA LAGI: Pelakon suara Pokemon derita kanser payudara meninggal dunia pada usia 46 tahun
Cut Intan Nabila yang pernah menempa nama sebagai atlet fencing Indonesia menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Mengulas lanjut, Rio berkata, pihaknya juga bergegas menemui mangsa selepas mendapat maklumat tentang isu keganasan rumah tangga itu.
Mangsa yang juga merupakan seorang model dan pempengaruh media sosial itu turut dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat.
Dalam pada itu, Kementerian Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia turut mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak khususnya keganasan rumah tangga (KDRT).
Timbalan Perlindungan Hak Wanita, Ratna Susianawati menghargai langkah yang diambil oleh pempengaruh, Cut Intan Nabila.
"Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
"Lebih-lebih lagi keganasan ini berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat dan dilakukan oleh orang yang paling dekat dengan mangsa," kata Ratna.
Ratna turut berkata, mangsa keganasan rumah tangga perlu berani bersuara supaya memperoleh hak mereka.
Perkara ini juga perlu dilakukan agar pelakunya mendapat hukuman berat mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Tambahan pula, Ratna menegaskan pihaknya menggalakkan penguatkuasaan undang-undang yang adil dan mempunyai perspektif mangsa.
Proses undang-undang ini perlu diteruskan supaya pelaku menerima hukuman yang berat bagi mencapai keadilan kepada mangsa dan memberi kesan pencegahan.
“Bukan sahaja kepada pelaku tetapi juga kepada sesiapa yang disyaki melakukan keganasan,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram