
PENDAKWAH ternama, Don Daniyal Don Biyajid akur dengan keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menarik balik tauliah mengajar di negeri itu, kata pengurusnya.
Menurut laporan FMT, pengurus Don Daniyal yang dikenali sebagai Ana berkata, pendakwah itu akan memuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
"Seperti biasa, Ustaz (Don) akur dengan setiap keputusan. Insya-ALLAH (akan buat rayuan). Doakan yang baik-baik, katanya.
BACA LAGI: Tauliah mengajar ditarik balik: Ustaz Don Daniyal ada 14 hari buat rayuan
BACA LAGI: Exco MAIS sahkan tauliah mengajar Ustaz Don ditarik lebih awal
Sijil tauliah Ustaz Don bersama empat individu lain ditarik balik oleh MAIS.
Dia mengulas sama ada Don Daniyal atau lebih dikenali Ustaz Don akan membuat rayuan selepas diberi masa sehingga 20 Ogos ini untuk berbuat demikian oleh MAIS.
Pada Selasa, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan surat penarikan untuk Don Daniyal dikeluarkan setiausaha jawatankuasa tauliah MAIS pada 31 Julai lalu.
Mengikut surat ditularkan sebelum ini yang disahkan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah, tauliah mengajar Don Daniyal ditarik balik bersama empat individu lain.
Susulan itu, semua masjid dan surau di Selangor diminta tidak mengundang mereka.
Jun lalu, JAIS mengarahkan penangguhan ceramah atau mengajar Don Daniyal di negeri itu susulan isu pengajaran agama Islam daripadanya yang disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Tindakan itu selaras titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan kepada semua pemegang tauliah supaya memberi kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram