JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan penemuan satu mayat lelaki dewasa di sekitar jambatan Sungai Klang, Selangor pada Rabu malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat lelaki berkenaan memakai pakaian berwarna gelap dengan tulisan nombor 56.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kemudian mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di Sungai Klang pada lewat petang Rabu adalah penyanyi Nidza Afham Mokhtar.
BACA LAGI: Penyanyi hilang lepas joging, famili hanya jumpa telefon dan dompet di jambatan Sungai Klang
Nidza Afham dilaporkan hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, Selangor pada Selasa. — Twitter
"Ya tadi dalam pukul 7 lebih petang ada orang memancing kawasan itu jumpa mayat. Pemeriksaan lanjut kita percaya itu adalah mayat Nidza yang dilaporkan hilang semalam (Selasa).
"Masa jumpa (mayat) itu lebih kurang satu kilometer daripada jambatan yang ditemui telefon bimbit dan dompet," katanya memetik The Star.
Tambah Hussein, mayat telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan keluarga akan dimaklumkan dalam masa terdekat untuk pengecaman.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan penyanyi itu yang keluar rumah pada pukul 7.45 petang pada Selasa namun tidak pulang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada 4.22 pagi.
Ikhtar terus demi mu. Balik lah Afham.. pic.twitter.com/L14BXU8MVy
— Efahanie (@efaperfume) August 14, 2024
Menurutnya, adik mangsa menyatakan abangnya ketika itu memakai baju berwarna biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman, Klang untuk berjoging.
"Adik kepada lelaki itu telah pergi ke lokasi terakhir itu dan telah menjumpai satu telefon bimbit jenis iPhone dan dompet berisi dokumen milik Muhammad Nidza Afham seperti kad pengenalan dan kad pelajar kecuali kad mesin juruwang automatik (ATM) yang telah hilang," katanya.
Adiknya, Afrina Hanie Mokhtar dilaporkan berkata, polis percaya kehilangan Afham berkaitan dengan kes samun susulan kehilangan kad debit dan wang tunai.
Manakala, kad pengenalan, kad pelajar dan gambar disimpan dalam dompet serta tidak berusik.
“Pada pukul 9.04 malam, teman wanita Afham menghubunginya dan mendapati panggilan tersebut tidak dapat disambungkan.
"Lokasi terakhir keberadaan Afham adalah di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram