Tragedi balik kampung, 30 PATI Indonesia lebih seminggu hanyut, rosak buang pinggang minum air laut sebelum diselamatkan polis Perak


  • 112
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Menurut polis, PATI Indonesia itu dalam perjalanan pulang ke negara asal mereka sebelum hanyut gara-gara bot rosak. — Polis Perak

SEBUAH bot membawa 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang dilaporkan hanyut di laut selama lapan hari akhirnya ditemui Polis Marin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, bot itu bersama tekongnya dan 24 lelaki termasuk lima wanita, ditemui kira-kira 9.8 batu nautika dari Tanjung Hantu, Segari, Perak, melalui operasi yang dijalankan sekitar pukul 8.34 malam, Sabtu lepas.

“Kami menerima maklumat mengenai bot berkenaan dan percaya mereka cuba memasuki negara ini secara haram.

“Siasatan mendapati, kumpulan itu berkumpul di Sabak Bernam sebelum menaiki bot pada 3 Ogos lalu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: APMM Pulau Pinang cekup 4 nelayan Thailand tidak ikut syarat sah lesen kelas C

BACA LAGI: Kes bunuh Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati

Menurut beliau, bot itu rosak menyebabkan ia hanyut selama lapan hari sebelum ditemui Polis Marin.

Tambahnya, mereka dalam perjalanan pulang ke negara asal mereka.

Mohamed Nordin berkata, kesemua 30 orang daripada bot itu telah ditahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

“Kami telah mendapat perintah untuk menahan mereka.

“Kapten berkenaan ditahan reman selama 28 hari manakala mereka yang tidak mempunyai pasport akan direman selama 14 hari,” jelasnya.

“Salah seorang daripada mereka sedang menerima rawatan di hospital selepas meminum air laut dan mengalami komplikasi diabetes serta penyakit buah pinggang,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram