Remaja perempuan menyamar pegawai perubatan tidak teruskan rawatan psikiatri, emosi tak stabil — Ketua Polis Selangor


  • 112
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Remaja yang menyamar sebagai pegawai perubatan itu mempunyai rekod rawatan psikiatri. — Astro Awani

POLIS mengesahkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, Selangor mempunyai sejarah dalam mendapatkan rawatan psikiatri pada awal 2023.

Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, remaja tersebut bagaimanapun tidak meneruskan rawatan susulan yang sepatutnya dihadiri pada Mac lalu.

Beliau berkata, perkara itu juga disahkan keluarga remaja berkenaan yang tidak lagi bersekolah buat masa ini.

BACA LAGI: Remaja 14 tahun menyamar pegawai perubatan, masuk dewan bedah di Serdang kena tahan polis

BACA LAGI: Kes remaja menyamar doktor boleh ancam nyawa, keselamatan pesakit — MMA

Hussein memaklumkan, remaja terbabit bertindak menggunakan kad pengenalan ibunya dengan memberi alasan bahawa dia kehilangan pas kerja untuk memasuki kawasan hospital.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang isu kecuaian pihak hospital kerana masih berada dalam fasa perbincangan berhubung memperketatkan prosedur keluar dan masuk hospital terutamanya kawasan larangan.

Hussein juga berkata, remaja itu berada dalam keadaan tertekan dan emosi tidak stabil sekali gus menjadi punca kepada tindakan tersebut.

Beliau pada masa sama memberitahu, remaja berkenaan kini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pemantauan dan sesi kaunseling sebelum laporan penuh diberi kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Menurutnya, JKM juga akan meneliti lebih lanjut daripada segi kaunseling manakala, keputusan pertuduhan hanya boleh dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya selepas menerima laporan JKM.

Tambahnya, mahkamah kemudiannya akan menentukan untuk mengarahkan remaja itu terima rawatan di hospital dan jalani proses berkaitan.

Sebelum ini, kejadian yang berlaku di Sepang, Selangor itu menyaksikan seorang kanak-kanak perempuan menyamar dengan memasuki ke dewan bedah.

Selepas berjaya ditahan, polis turut merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital yang digunakan remaja berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram