Warga asing bebankan hospital awam, KKM perlu cari jalan efektif selain kaedah insurans — MMA


  • Massa
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Pihak kementerian khusus dalam perkhidmatan perubatan disarankan untuk mengkaji semula dan mencari jalan penyelesaian lebih efektif.— Gambar hiasan

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menyarankan mana-mana pihak kementerian yang bertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih efektif selain mengenakan deposit kepada warga asing yang mempunyai insurans ke klinik swasta.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, ia sebagai langkah untuk menghalang pekerja asing tidak berdaftar atau pendatang tanpa izin (PATI) membebankan hospital awam.

Dr Azizan berkata, golongan tersebut tidak mempunyai alternatif selain menggunakan perkhidmatan pusat kesihatan awam kerana mereka tidak mempunyai insurans perlindungan untuk ke klinik swasta.

BACA LAGI: 'Kalau pesakit warga asing ada insurans, hantar terus ke swasta elak bebankan hospital awam'

BACA LAGI: Tunggu sebutan semula kes 30 Ogos, Lans Koperal Alif Monjani ke Penjara Sungai Buloh

2818228

Lambakan pendatang asing khususnya pelarian Rohingya semakin menguasai sektor kesihatan di hospital awam negara. — Gambar hiasan

Beliau bagaimanapun berkata, penggunaan perkhidmatan perubatan awam sepatutnya tidak memberi sebarang masalah kepada pekerja asing yang berdaftar.

"Hal ini kerana, mereka seharusnya mempunyai perlindungan insurans Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA).

"Soal deposit yang diperlukan pula, majikan perlu memastikan mereka memenuhi kewajipan untuk menjaga semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan," katanya kepada Majoriti.

Katanya, kerajaan juga perlu mencari punca sebenar masalah tersebut terutamanya di kawasan sempadan iaitu di Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah, ia disebabkan populasi PATI di Lahad Datu dan Tawau, Sabah lebih tinggi.

"Disebabkan itu juga, doktor berdepan dengan dilema apabila golongan terbabit datang ke fasiliti mereka dan terpaksa menjalankan tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan perubatan kepada mereka," jelasnya.

2822749

Dr Azizan Abdul Aziz

Terdahulu, seorang petugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor dan Hospital Tawau, Sabah menyarankan tiga pendekatan boleh diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menangani isu tersebut khususnya terhadap warga Rohingya.

Pegawai perubatan, Dr Atiqah Shazwani Ahad, 30, pada masa sama turut akur dengan dakwaan warga maya berhubung lambakan pesakit Rohingya di hospital awam.

Dia juga tidak menafikan bahawa bidang perubatan Malaysia mahupun peringkat global sememangnya tidak mengamalkan prinsip pilih kasih walaupun berlainan asal usul dan warganegara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram