
KEBELAKANGAN ini, taburan hujan yang rendah dijangka berterusan menyebabkan Malaysia berdepan dengan cuaca yang lebih panas dan kering sehingga pertengahan September.
Situasi ini menyebabkan kebanyakan kawasan akan mengalami cuaca kering berikutan kurangnya penumpuan udara lembap untuk menghasilkan hujan.
Jika dilihat kepada trend semasa, keadaan cuaca sebegini bukanlah kali pertama dihadapi oleh rakyat Malaysia.
BACA LAGI: Bekas pekerja TNB kongsi tip mudah jimatkan elektrik ketika cuaca panas
BACA LAGI: TNB tanggung kos perubatan budak lelaki mangsa renjatan elektrik di Bayan Lepas
Terdapat beberapa perubahan ketara yang boleh dilihat ekoran daripada apa yang berlaku ketika ini.
Antara yang menarik perhatian orang ramai adalah terdapat peningkatan penggunaan elektrik yang secara langsung memberi kesan terhadap lonjakan bil elektrik.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cuaca panas sejak Februari lalu telah meningkatkan penggunaan elektrik setiap isi rumah.
Penetapan suhu penyaman udara boleh mempengaruhi penggunaan elektrik. — Gambar hiasan/Agensi
Dalam keadaan cuaca panas, rata-rata masyarakat pastinya bergantung kepada peralatan elektrik khususnya penyaman udara bagi menyejukkan badan dan sekeliling terutamanya ketika berada di rumah.
Bagaimanapun, situasi cuaca panas ini tidak bermakna pengguna perlu mengabaikan langkah untuk melaksanakan penjimatan elektrik.
Berikut Majoriti kongsikan langkah mudah yang boleh dilakukan bagi memastikan rumah anda sejuk tanpa perlu risau kepada peningkatan bil elektrik.
1. Penyaman udara
Amalan menetapkan suhu pada 16 darjah Celsius, iaitu suhu paling rendah bagi penyaman udara menyebabkan kompresor terpaksa bekerja dengan lebih kerap, sekali gus menyumbang kepada penggunaan elektrik yang tinggi.
Untuk menangani perkara tersebut, pengguna mempunyai pilihan untuk menetapkan suhu pada 24 darjah Celsius dan ke atas yang merupakan suhu selesa untuk sebuah bilik.
Selain itu, pengguna juga boleh mengambil langkah menutup pintu dan tingkap ketika menggunakan penyaman udara bagi membantu menyejukkan bilik dengan lebih cepat.
Pada masa sama, penggunaan ‘timer’ atau ‘sleep mode’ sebelum tidur juga boleh dipertimbangkan bagi memastikan penyaman udara diberhentikan penggunaannya dalam tempoh tertentu selepas suhu bilik sudah sejuk.
2. Label kecekapan tenaga
Bagi mereka yang berhasrat membeli peralatan elektrik baharu, anda dinasihatkan untuk melihat label kecekapan tenaga pada barang yang ingin dibeli.
Sebelum membeli mana-mana peralatan elektrik, pastikan anda baca panduan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk bantu anda membuat pilihan.
Bintang pada label cekap tenaga memberikan makluman mengenai tahap kecekapan barang elektrik dalam menjimatkan tenaga. Label 1 bintang bermakna barang elektrik tersebut mempunyai kecekapan tenaga rendah dan label 5 bintang menunjukkan barang tersebut memiliki kecekapan tenaga paling cekap.
Kipas juga perlu dibersihkan secara berkala supaya dapat berfungsi di tahap paling efektif. — Gambar hiasan/Agensi
3. Bersihkan habuk kipas dan penapis penyaman udara
Bagi memastikan kipas berada di dalam tahap efektif, anda perlu memastikan agar bilah kipas sentiasa dibersihkan secara berkala.
Dengan cara ini, kipas yang digunakan di kediaman akan menjadi lebih efektif dan menjadikan kitaran udara lebih baik.
Perkara yang sama juga perlu dilakukan terhadap penapis penyaman udara yang perlu dibersihkan secara berkala.
4. Guna lampu LED
Penggunaan mentol lampu jenis LED sememangnya diakui lebih menjimatkan berbanding mentol lampu pijar.
Ini kerana kecekapan lampu LED adalah empat kali lebih cekap tenaga berbanding mentol jenis lama.
Selain itu, mentol LED juga menghasilkan kepanasan haba yang sedikit, sekali gus menyumbang kepada persekitaran rumah yang lebih sejuk.
5. Tutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan
Arus elektrik masih mengalir pada barangan elektrik yang tidak digunakan.
Untuk itu, adalah lebih baik jika anda menutup suis dan tanggalkan palam peralatan elektrik yang tidak digunakan di dalam rumah.
Langkah tersebut juga boleh membantu penjimatan elektrik anda.
Tutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan. – Gambar hiasan/ Agensi
Kesemua tip yang dikongsikan ini mampu membantu menyejukkan ruangan kediaman anda pada masa sama mengurangkan penggunaan elektrik dengan lebih optimum.
Anda juga perlu mengetahui setiap fungsi sesuatu peralatan atau barangan elektrik yang dibeli supaya dapat mengurangkan kos bil elektrik bulanan ketika menggunakannya.
Selain itu, anda juga boleh membandingkan penggunaan elektrik setiap bulan dengan memuat turun aplikasi rasmi TNB menerusi telefon pintar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram