TNB tanggung kos perubatan budak lelaki mangsa renjatan elektrik di Bayan Lepas


  • Massa
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Wakil Pengurusan TNB menyantuni ibu bapa Mohd Dawisy di Hospital Besar Pulau Pinang pada Jumaat.

TENAGA Nasional Berhad (TNB) akan menyalurkan segala bantuan termasuk bagi menanggung kos rawatan dan perubatan yang diperlukan kanak-kanak lelaki yang melecur selepas terkena renjatan elektrik di bilik jana kuasa TNB Taman Seri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Khamis.

TNB dalam satu kenyataan media pada Jumaat memaklumkan bantuan itu diberikan agar Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 12 mendapat rawatan yang terbaik.

"Kami akan menyalurkan segala bantuan termasuk bagi menanggung kos rawatan dan perubatan yang diperlukan agar mangsa mendapat rawatan yang terbaik.

"Wakil Pengurusan TNB sudah pun menyantuni ibu bapa mangsa di Hospital Besar Pulau Pinang pada Jumaat. Dalam lawatan itu, Head of Zone Asset, TNB Pulau Pinang, Ir. Anan Eyam turut menyampaikan bantuan pendahuluan segera kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.

BACA LAGI : [VIDEO] ‘Mama tolong adik, adik panas’, ibu tahu budak 12 tahun melecur di bilik TNB Bayan Lepas dari grup WhatsApp

"Mangsa yang melecur anggota badan sedang dirawat di bilik isolasi, Unit Rawatan Rapi (ICU),di hospital berkenaan," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, TNB akan bekerjasama dengan pihak Polid Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Tenaga bagi membantu siasatan dan TNB sendiri telah menubuhkan pasukan siasatan dalaman selaras dasar operasi syarikat yang memberi keutamaan kepada keselamatan.

Pada Khamis, Majoriti melaporkan kejadian malang yang menimpa Mohd Dawisy apabila dikatakan bermain bola sepak bersama rakan-rakannya sebelum bola termasuk ke dalam bilik jana kuasa TNB.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Kamarul Rizal Jenal, berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak itu masuk ke kawasan bilik jana kuasa tersebut untuk mengambil bola dan dikatakan terjatuh sebelum terkena renjatan elektrik dan dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut.

Kembar Mohd Dawisy begitupun tidak bermain bersama kerana tidur di rumah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram