Meta akan keluar kenyataan dalam masa terdekat, PMO letak syarat perlu mohon maaf secara terbuka


  • Primer
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Pertemuan itu adalah untuk menuntut beberapa penjelasan berkaitan tindakan Meta yang menurunkan hantaran berkenaan pembunuhan Ismail Haniyeh. — X/MalaysiaPMO

PEJABAT Perdana Menteri (PMO) menuntut permohonan maaf daripada Meta Platforms Inc (Meta) susulan tindakan syarikat gergasi media sosial itu menurunkan beberapa hantaran di platform Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Mei dan 30 Julai lalu.

Tuntutan itu dibuat selepas PMO memanggil Meta pada Isnin untuk menjelaskan tindakan mereka itu.

PMO dalam kenyataan berkata, antara tuntutan yang dikemukakan termasuk penjelasan terperinci mengenai tindakan yang diambil dan permohonan maaf daripada syarikat berkenaan secara terbuka.

"PMO melihat tindakan itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan memberi pandangan. Ia juga adalah penghinaan terhadap perjuangan rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia," tegasnya.

BACA LAGI: Dewan Rakyat kutuk pembunuhan pemimpin Hamas

BACA LAGI: Unit Media PM kutuk Meta padam gambar pertemuan Anwar-Ismail di Doha

GUNdyPeaMAAD4jp

Pertemuan itu diadakan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada petang Isnin. — X/MalaysiaPMO

Dalam perkembangan sama, PMO turut menzahirkan rasa kecewa dengan insiden sekatan siaran langsung menerusi Facebook membabitkan akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin pada Ahad.

"Seperti yang telah dijanjikan di dalam pertemuan ini, Meta akan mengeluarkan satu kenyataan media dalam masa terdekat," katanya.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamed Salim Fateh Din serta wakil Meta.

Terdahulu, Majoriti melaporkan beberapa hantaran di akaun Instagram milik Anwar yang mengecam pembunuhan Ismail Haniyeh pada 31 Julai dan gambar pertemuannya dengan pemimpin Hamas itu telah dipadam daripada platform media sosialnya.

Susulan itu, Anwar kemudiannya menggesa Meta untuk berhenti menjadi alat rejim Zionis Israel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram