PENGUMUMAN pelantikan Ketua Setiausaha Negara baharu akan dibuat dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tidak (kami tiada calon lagi) tapi akan membuat pengumuman dalam masa yang terdekat," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin (5 Ogos).
Kontrak dua tahun Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali akan tamat pada 10 Ogos ini.
BACA LAGI: Pemergian Allahyarham Jay Jay kehilangan besar industri muzik tanah air — Fahmi Fadzil
BACA LAGI: [VIDEO] Tetap bangga, 4 pencapaian hebat skuad hoki negara walaupun kemarau 24 tahun ke Olimpik
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya pada perhimpunan bulanan itu menyifatkan Mohd Zuki sebagai individu penjawat awam yang komited dan tidak pernah mengeluh dalam menjalankan tugasnya.
Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa ini adalah perhimpunan bulanan terakhir yang akan dihadiri Mohd Zuki sebagai penjawat awam tertinggi.
"Ketua Setiausaha mungkin pernah bekerja dengan perdana menteri lain sebelum saya; Sejak hari pertama saya memegang jawatan, beliau telah berkongsi pandangan dan memberi nasihat yang bernas untuk memajukan perkhidmatan awam dan negara,” kata Anwar.
Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau sentiasa berkomunikasi dengan Mohd Zuki malah pernah memanggilnya pada hujung minggu.
"Tidal sekali pun dia merungut. Malah, dia akan membantu saya mencari penyelesaian terbaik untuk apa juga isu atau masalah yang saya bangkitkan,” katanya.
Mohd Zuki memegang jawatan itu sejak 31 Disember 2019.
Pada 11 Ogos 2022, beliau dilantik semula sebagai Ketua Setiausaha Negara dengan kontrak selama dua tahun.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Perniagaan dari Universiti Nanyang, Singapura dan pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Beliau juga pernah berkhidmat di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. — The Star/MAZWIN NIK ANIS
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram