Siasatan dibuka semula, polis mungkin panggil keluarga Teoh Beng Hock beri keterangan tambahan


  • 112
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan ada kemungkinan untuk memanggil ahli keluarga bekas Setiausaha Politik Exco Selangor, mendiang Teoh Beng Hock, untuk mendapatkan keterangan tambahan bagi membantu siasatan yang dibuka semula berhubung kematiannya pada tahun 2019.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis akan meneliti sebarang maklumat baharu yang boleh membantu kes itu.

“Apabila kita kata buka semula, itu bermakna kita akan mulakan semuanya semula dan sebarang maklumat baharu akan dinilai.

"Kemungkinan besar untuk memanggil mereka (keluarga) kembali," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Jumaat.

BACA LAGI: Dewan Rakyat kutuk pembunuhan pemimpin Hamas

BACA LAGI: Unit Media PM kutuk Meta padam gambar pertemuan Anwar-Ismail di Doha

Journey towards justice: Anwar shaking hands with Teoh’s father at his office in Putrajaya. — Photo courtesy of the Prime Minister’s official Facebook page

Anwar ketika bertemu keluarga mendiang Teoh Beng Hock pada Khamis (1 Ogos) di Putrajaya. — Facebook/Anwar Ibrahim

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya berkata, siasatan kematian Teoh akan dibuka semula.

"Saya nyatakan pendirian kerajaan yang bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan berkaitan kematian mendiang Teoh.

Saya beri jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak, khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes ini pada 5 September 2014," katanya.

Pada 16 Julai 2009, Teoh telah ditahan semalaman untuk disoal siasat di tingkat 14 Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam, Selangor.

Dia kemudian ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam.

Pada Julai 2011, hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati kematian Teoh disebabkan bunuh diri.

Pada September 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematian Teoh berpunca daripada perbuatan menyalahi undang-undang atau perbuatan seseorang atau beberapa orang yang tidak dikenali termasuk kemungkinan pegawai SPRM yang terlibat dalam kes itu.

Pada Mei 2015, kerajaan bersetuju membayar keluarga itu RM600,000 sebagai penyelesaian bagi saman sivil yang dimulakan pada 2012 kerana kecuaian yang mengakibatkan kematian Teoh.

Pada Januari 2022, ibu bapa Teoh memfailkan semakan kehakiman untuk menggesa pihak polis segera menyelesaikan siasatan ke atas kematiannya.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan 29 Oktober untuk menyampaikan keputusan permohonan keluarga Teoh mengenai semakan kehakiman berhubung kematian mendiang. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram