Polis parah kena rempuh mat rempit lawan arus di Seremban


  • 112
  • Ahad, 28 Jul 2024

Seorang anggota polis trafik Seremban dan remaja parah apabila kedua-dua motosikal bertembung di KM36 (S) Lekas.

SATU insiden kemalangan dilaporkan berlaku membabitkan seorang penunggang remaja lelaki dan anggota polis trafik yang bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas) pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) itu dikatakan sedang melakukan tugas sebelum dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan kaki.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak luah rasa kesal tanggung rugi lebih RM60,000 sebab ibu kena scam, layan orang tak kenal di WhatsApp

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pergi balai RM300, bayar sini RM100', ramai pelik couple UK dapat pilihan bayar saman PDRM

"Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan seorang anggota polis lelaki berumur 36 tahun dan seorang remaja lelaki (17).

"Kemalangan berlaku ketika anggota terbabit yang bertugas di BSPTD Seremban, sedang melakukan tugas Ops Samseng Jalanan bersama beberapa anggota lain," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, ketika kejadian, remaja berkenaan dikatakan bertindak menunggang motosikal secara melawan arus sebelum merempuh anggota yang juga sedang menunggang motosikal.

"Akibat kemalangan, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di kaki dan kepala sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan untuk menerima rawatan," katanya.

Ujarnya, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 307 Akta Kanak-Kanak 2001 disebabkan penunggang di bawah umur 18 tahun.

"Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih prihatin berkaitan aktiviti anak mereka terutama pada lewat malam yang berkemungkinan terpengaruh dengan gejala tidak sihat seperti lumba haram," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram